top of page

Estetika dan Kepengarangan

Catatan Kamus Dewan Edisi Keempat, estetika bererti cabang falsafah yang mengkaji konsep berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan lain-lain. Jika kita memetik kata-kata Rahman Shaari (2001), “estetika bermaksud nilai keindahan dalam karya sastera yang berkaitan dengan perasaan manusia dan subjektif sifatnya” Menurut beliau lagi, bagi sesebuah karya sastera aspek teknik dan gaya itulah yang menjadi penentu hadirnya nilai estetika. Van Mater Ames dalam bukunya Colliers Encyclopedia Volume 1 menyatakan bahawa estetika sebahagian daripada telaah yang berkaitan dengan penciptaan, apresiasi dan kritikan terhadap karya seni dalam konteks berkaitan seni dengan kegiatan manusia serta peranan seni dalam perubahan dunia. Nilai estetika yang terselit dalam penulisan karya agung Melayu lebih kepada nilai keindahan. Nilai-nilai keindahan yang terdapat dalam karya agung Melayu melahirkan keseronokan, manfaat dan penikmatan karya sastera kepada pembaca.



Estetika dalam Gaya Bahasa Hikayat Hang Tuah


Gaya bahasa terdiri daripada dua perkataan iaitu perkataan ‘gaya’ dan ‘bahasa’. Secara umumnya, gaya boleh didefinisikan sebagai cara dan ragam. Sebagai contoh, jika dilihat pada manusia, gaya yang dimaksudkan ialah cara berpakaian, tingkah laku, cara berinteraksi dan pelbagai lagi. Bahasa pula merupakan satu sistem yang mewakili benda, tindakan, idea dan perasaan. Gaya bahasa dalam kesusasteraan pula merupakan gaya bahasa yang memiliki kesenian dan mengandungi nilai estetik yang merupakan nilai yang mampu membangkitkan perasaan serta mengharukan pembaca sesebuah karya sastera. Selain itu, gaya bahasa sastera ini juga berperanan untuk menyampaikan maklumat serta merangsang daya pemikiran pembaca. Penggunaan nilai estetika dalam penulisan ini menjadikan penulisan tersebut memiliki gaya yang tersendiri. Sebenarnya, dalam kesusasteraan terdapat banyak jenis gaya bahasa. Antaranya ialah gaya bahasa kiasan, sindiran, hiperbola dan peribahasa. Melalui karya agung Hikayat Hang Tuah, didapati bahawa terdapat penggunaan gaya bahasa kiasan


a) Kiasan


Sebenarnya, peribahasa, perumpamaan, bidalan dan ungkapan merupakan cabang kepada bahasa kiasan. Bahasa kiasan ini berfungsi menyindir seseorang secara halus dan bersopan. Bahasa ini juga terbentuk daripada analogi dan perbandingan yang berlaku antara satu perkara dengan perkara yang lain. Bahasa kiasan ini sebenarnya telah wujud sejak zaman dahulu lagi. Buktinya, nenek moyang kita telah mula menggunakan peribahasa, perumpamaan, pepatah malah pantun untuk menyindir terutamanya untuk menyindir golongan pemerintah sekiranya terdapat perkara yang tidak kena dengan pemerintahan tersebut. Penggunaan kiasan ini menunjukkan adanya rasa hormat dalam kalangan masyarakat terutamanya perasaan hormat golongan rakyat jelata terhadap golongan pemerintah.

Dalam Hikayat Hang Tuah juga terdapat penggunaan unsur gaya bahasa berbentuk kiasan ini. Penggunaan bahasa kiasan dalam hikayat ini tidak lain tidak bukan bertujuan untuk menyindir, di samping memberikan nasihat kepada individu yang disindir. Antara bahasa sindiran yang digunakan oleh penulis dalam hikayat adalah seperti di bawah, iaitu:


Ular cintamani yang ditangkap oleh Hang Tuah di Pulau Biram Dewa telah digambarkan sebagai :……..rupanya dan besarnya seperti pisang emas dan warnanya seperti emas sepuluh mutu.


(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 43)


Berdasarkan petikan daripada hikayat di atas, didapati bahawa penulis telah menggunakan bahasa kiasan dengan membandingkan saiz pisang emas dan warna emas untuk menerangkan saiz serta warna ular cintamani yang telah ditangkap oleh Hang Tuah di Pulau Biram Dewa. Seperti yang kita sedia tahu, pisang emas bersaiz dan berdiameter besar, manakala emas sepuluh mutu merupakan emas yang diterangkan sebagai emas yang sangat bermutu tinggi. Oleh hal yang demikian, didapati bahawa penulis ingin menerangkan warna ular cintamani tersebut sangat bersinar seperti emas yang bermutu tinggi.


Selain ayat di atas, dapat dikenal pasti bahawa penulis telah menggunakan bahasa kiasan ini pada halaman yang lain. Selain daripada menggunakan bahasa kiasan untuk menyindir, bahasa kiasan ini juga boleh digunakan untuk menggambarkan sesuatu keadaan, benda, perkara atau seseorang. Berdasarkan ayat di bawa, didapati bahawa penulis berupaya menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan kecantikan fizikal seseorang wanita. Ayat yang dimaksudkan adalah seperti di bawah, iaitu:


Kecantikan dan kejelitaan Tun Teja di bandingkan dengan,……. bulan purnama empat belas haribulan, gilang gemilang, berkilau-kilauan.


(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 111)


Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan bahasa kiasan untuk menggambarkan kecantikan Tun Teja. Bahasa kiasan yang digunakan dalam petikan di atas adalah untuk menunjukkan perbandingan unsur alam sekitar dengan rupa paras seseorang. Didapati bahawa penulis menerangkan kecantikan dan kejelitaan Tun Teja adalah seperti bulan purnama empat belas hari bulan. Bulan purnama empat belas hari bulan ialah bulan mengambang yang terang dan kelihatan sangat cantik. Selain itu, penulis juga menyatakan bahawa kecantikan Tun Teja juga seperti bulan yang gilang gemilang dan berkilau-kilauan. Perkataan gilang gemilang dan berkilau-kilauan memang menggambarkan bahawa rupa paras yang sangat cantik dan berseri-seri.


b) Sindiran


Sindiran merupakan salah satu bentuk bahasa yang termasuk dalam bahasa kiasan. Bahasa sindiran terdiri daripada tiga jenis iaitu sindiran halus, sindiran tajam dan sindiran kasar. Bahasa sindiran ini merupakan bahasa yang digunakan adalah bertentangan maksudnya dengan perkara yang diujarkan. Selain disebut sebagai sindiran halus, bahasa ini juga dinamakan sebagai ironi dan bukan digunakan untuk mengguris hati, memalukan orang lain, tetapi juga bukan bertujuan untuk tidak mengguris atau memalukan pihak lain.

Dalam karya agung Hikayat Hang Tuah, penulis banyak menggunakan bahasa sindiran untuk menyindir pihak yang tidak jujur serta pihak yang mendatangkan masalah dalam sesuatu perkara. Penggunaan bahasa sindiran dalam Hikayat Hang Tauh dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:


Maka sahut Tun Tuah, “Pada bicara manira, janganlah seperti pelenter itu tiadakan manira tikam, jikalau penggawa Majapahit itu sekalipun manira tikam juga.


(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 153)


Berdasarkan petikan dalam Hikayat Hang Tuah di atas, didapati bahawa Hang Tuah menunjukkan keberanian beliau terhadap Patih Gajah Mada. Beliau menyatakan bahawa beliau bukan sahaja boleh membunuh pencuri, malah beliau mampu membunuh penghulu bernama Majapahit.


c) Peribahasa


Peribahasa merupakan salah satu jenis percakapan yang mengandungi kepandaian akal fikiran yang telah disusun serta indah dan sedap didengar. Sebenarnya, peribahasa ini telah wujud sejak zaman nenek moyang kita lagi. Mereka mencipta peribahasa berdasarkan kepada keadaan sekeliling dan pemerhatian mereka terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Peribahasa ini juga sebenarnya merupakan salah satu bentuk bahasa kiasan yang digunakan dalam kehidupan bermasyarakat. Peribahasa ini mengandungi makna tersirat atau lebih dikenali sebagai makna dua lapis iaitu perkara yang diujarkan adalah tidak sama dengan maksud yang ingin disampaikan.


Dalam karya Hikayat Hang Tuah, penulis turut menggunakan peribahasa yang jarang digunakan mahu pun didengar oleh masyarakat masa ini. Peribahasa yang digunakan adalah seperti di bawah, iaitu:


Maka sahut Jebat, “Inilah pekerjaan yang sempurna. Sepala-pala jahat jangan kepalang, seperti pantun Melayu: ‘Rosak bawang ditimpa jambaknya,.” Maka Laksamana berkata pula, “Hai Si Jebat, segeralah bukakan aku pintu ini.


(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 356)


Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan peribahasa ‘sepala-pala jahat jangan kepalang’ iaitu perkataan yang digelapkan. Peribahasa ini telah jarang didengar masa ini. Maksud peribahasa yang digunakan di atas ialah jika sudah terlanjur melakukan kejahatan, jangan berhenti separuh jalan. Perkara ini membawa maksud Jebat telah menuduh Laksamana Hang Tuah melakukan kejahatan dan menyatakan bahawa kejahatan yang dilakukan itu hendaklah diteruskan sehingga akhirnya. Jelas dilihat peribahasa yang digunakan di atas bertujuan untuk menyindir sikap Laksamana tersebut.


Peribahasa lain yang terdapat dalam petikan di atas ialah ‘rosak bawang ditimpa jambaknya’. Peribahasa tersebut membawa maksud seseorang yang mendapat kesusahan akibat daripada perbuatan rakannya sendiri. Berdasarkan situasi yang berlaku antara Jebat dan Laksamana Hang Tuah dalam petikan di atas, Tuah menyatakan bahawa perbuatan jahat yang berlaku bukan disebabkan oleh dirinya sendiri, malah ia merupakan satu tuduhan yang dilemparkan terhadapnya kerana sikap atau perkara buruk yang telah dilakukan oleh rakannya sendiri iaitu Jebat.


Teknik Kepengarangan


Kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan dan kebijaksanaan seseorang pengarang itu dalam berkarya.Kebiasaanya, kepengarangan dapat menerangkan tentang kekuatan, keistimewaan serta kelemahan seseorang pengarang dalam karyanya.Kepengarangan dianalisis dari aspek keperibadian yang berjaya dicapai oleh pengarang. Keperibadian adalah kemuncak kejayaan bagi seorang pengarang (Mohd Rashid Md Idris et al. 2014: 96-98).Keagungan karya tradisional Melayu sebenarnya terlihat pada kebijaksanaan dan kehandalan pengarangnya dalam mengolah cerita.Pada asasnya, tugas seorang pengarang ialah pewaris kepada yang empunya cerita.Keadaan ini membayangkan kepada kita bahawa karya sastera Melayu tradisional adalah milik bersama masyarakat.Hikayat Melayu adalah cerita dan kisah agung tentang bangsa Melayu dan latar ceritanya pula merupakan pentas agung kisah Melayu dengan puluhan malahan ratusan tempat dan peristiwa.


Teknik Kepengarangan Hikayat Hang Tuah


a) Ayat songsang


Seperti yang kita sedia maklum, susunan ayat biasa ialah didahului dengan subjek dan seterusnya predikat, tetapi, penulisan ayat songsang ialah predikat didahulukan dan diikuti oleh subjek. Dalam karya klasik sememangnya mengandungi banyak penggunaan ayat songsang. Perkara ini berlaku disebabkan oleh berlakunya pengaruh bahasa Arab yang terdapat dalam bahasa Melayu klasik. Dalam karya agung Hikayat Hang Tuah juga ada menggunakan ayat songsang. Hal ini demikian kerana karya agung yang merupakan karya klasik. Penggunaan ayat songsang dalam Hikayat Hang Tuah dapat dikenal pasti melalui petikan di bawah, iaitu:


Hatta, berapa lamanya belayar itu, maka nakhoda itu pun hampirlah akan sampai ke Palembang.


(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 13)


Setelah sudah bermuat maka nakhoda itu pun turunlah ke perahunya lalu belayar menuju Palembang.


(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 13)


Berdasarkan petikan pertama, didapati bahawa subjek bagi ayat tersebut ialah ‘nakhoda itu’, manakala predikat bagi ayat tersebut ialah ‘pun hampirlah akan sampai ke Palembang’ dan ‘ Hatta, berapa lamanya belayar itu’. Oleh hal yang demikian, ayat tersebut sepatutnya ditulis ‘Nakhoda itu pun hampirlah akan sampai ke Palembang setelah berapa lamanya belayar’. Merujuk kepada ayat kedua pula, subjeknya ialah ‘nakhoda itu’ dan predikat bagi ayat tersebut ialah ‘pun turunlah ke perahunya lalu belayar menuju Palembang’ dan ‘Setelah sudah bermuat maka’. Oleh hal yang demikian, ayat yang sepatutnya mengikut rumus subjek + predikat ialah ‘Nakhoda itu pun turunlah ke perahunya lalu belayar menuju Palembang setelah sudah bermuat’.


b) Ayat panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit


Ayat panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit merupakan salah satu ciri bahasa Melayu klasik. Penggunaan ayat yang meleret-leret juga dapat dilihat dalam karya klasik. Penggunaan ayat yang panjang dalam Hikayat Hang Tuah dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:


Apabila tuan puteri dan segala isi istana itu mendengar bunyi-bunyian dan melihat segala perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakaiannya terlalu indah-indah - rata terbang itu pun dengan perhiasan keemasan – datang mendapatkan Sang Perta Dewa itu bertatahkan ratna mutu manikam, maka Tuan Puteri Pelinggam pun tahulah akan Sang Perta Dewa itu anak raja besar turun dari keinderaan.


(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 6)


Berdasarkan pernyataan di atas, didapati bahawa penulis menggunakan ayat yang terlalu panjang untuk menerangkan sesuatu perkara. Petikan di atas menggunakan 58 perkataan hanya dalam satu ayat. Bilangan perkataan yang terlalu maksimum dalam satu ayat dapat membuktikan bahawa ayat tersebut ditulis dengan panjang. Penggunaan ayat yang berulang-ulang dalam karya klasik juga dapat dilihat melalui Hikayat Hang Tuah pada halaman sebelas dan petikan tersebut adalah seperti di bawah, iaitu:


Hatta, berapa lamanya, tuan puteri pun hamillah. Maka Sang Sapurba terlalu sukacita melihat isterinya hamil itu. Setelah genaplah bulannya, maka tuan puteri pun berputerakanlah seorang lelaki; terlalu elok rupa dan sikapnya. Maka Sang Sapurba pun terlalu sukacita hatinya kerana melihat anakanda baginda itu. Maka dinamai baginda Sang Manika. Maka dipeliharakan dengan sepertinya. Syahadan maka baginda pun mengias akan anakandanya dengan inang pengasuh dan pupuk rabun sekalian akan Sang Manika. Hatta, beberapa lama antaranya, maka tuan puteri pun hamillah. Setelah genap bulannya, maka tuan puteri berputera pula seorang laki-laki elok rupanya. Maka dinamai oleh baginda, Sang Jaya Nantaka. Maka dipeliharakan ayahanda baginda dengan inang pengasuhnya, ditahunya akan anakanda baginda itu jadi raja besar tetapi merasai hal dahulu, makan pagi dan petang pun tiada diperoleh. Hatta, berapa lamanya, maka tuan puteri pun hamillah pula. Setelah genap bulannya, maka tuan puteri pun berputeralah seorang laki-laki terlalu elok rupanya. Maka dipeliharanya akan baginda seperti anak yang dahulu itu. Maka dinamai oleh baginda, Sang Saniaka. Hatta beberapa bulan lamanya, maka tuan puteri pun hamillah pula. Setelah genap bulannya, maka tuan puteri pun berputeralah seorang laki-laki terlalu elok rupanya dan parasnya. Maka baginda pun terlalu kasihnya akan anakanda baginda itu, dipeliharakan dengan sepertinya. Maka dinamai oleh baginda, Sang Satiaka.


(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah:11)


Berdasarkan petikan di atas, didapati bahawa penulis banyak menggunakan frasa ‘maka tuan puteri pun hamillah’ dalam satu perenggan yang sama. Penggunaan frasa yang sama iaitu sebanyak empat kali dalam satu perenggan membuktikan bahawa karya klasik sememangnya banyak menggunakan pengulangan ayat.


c) BAHASA

Penggunaan bahasa yang pelbagai sangat berleluasa dalam bidang penulisan terutamanya penulisan karya klasik. Hal ini demikian kerana pada zaman dahulu, masyarakat mempelajari pelbagai bidang bahasa dan kemahiran tersebut diaplikasikan dalam penulisan. Penggunaan bahasa yang pelbagai ini adalah pengaruh daripada masyarakat Arab, Jawa dan Parsi yang datang ke alam Melayu dengan tujuan perdagangan dan menuntut ilmu. Selain daripada itu, terdapat juga penggunaan bahasa istana terutamanya dalam aspek gelaran.


Bahasa Sanskrit


Bahasa Sanskrit merupakan bahasa yang digunakan oleh golongan kasta tinggi dalam kalangan masyarakat beragama Hindu. Oleh hal yang demikian, masyarakat berkasta rendah tidak dibenarkan sama sekali untuk menggunakan bahasa ini. Pada masa ini, bahasa Sanskrit tidak lagi digunakan dan banyak perkataan daripada bahasa Sanskrit ini telah diserap ke dalam bahasa moden. Dalam Hikayat Hang Tuah juga ada menggunakan perkataan Sanskrit. Buktinya dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:


… maka baginda pun memandang kepada Laksamana

seraya bertitah, “Hai Laksamana, apa bicara Laksamana

kita hendak suruh ke Benua Rom itu?


(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 491)


Berdasarkan petikan di atas, didapati penulis menggunakan perkataan Sanskrit iaitu perkataan ‘Laksamana’. Dalam bahasa Melayu, perkataan ‘Laksamana’ membawa maksud tanda atau markah utama. Berdasarkan hikayat ini, penulis ingin menegaskan bahawa Hang Tuah yang digelar Laksamana Hang Tuah kerana sifat kepewiraan dan keberanian beliau.


Bahasa Arab


Bahasa Arab merupakan salah satu bahasa yang digunakan oleh penulis zaman dahulu dalam penulisannya. Hal ini demikian kerana pengaruh bahasa Arab ini berleluasa di alam Melayu akibat daripada masyarakat Arab yang berhijrah serta menuntut ilmu di alam Melayu sehinggakan bahasanya boleh mempengaruhi penulisan karya-karya Melayu. Hikayat Hang Tuah yang merupakan salah satu karya Melayu tidak terlepas daripada mendapat pengaruh daripada bahasa Arab. Terdapat pelbagai perkataan Arab yang digunakan dalam karya tersebut. Contoh perkataan Arab yang digunakan adalah seperti dalam petikan di bawah, iaitu:


Bismi'llahi'rrahmani'rrahim; wabihi nasta'inu

bi'llahi'l-a'la. Ini hikayat Hang Tuah yang amat setiawan

pada tuannya dan terlalu sangat berbuat kebaktian kepada tuannya.


(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 3)


Setelah baginda menengar Tun Tuah demikian itu maka baginda dengan sepah. Maka disambut oleh Tun Tuah sepah raja itu lalu dijunjungnya serta dimakannya seraya berkata,“Daulat tuanku, insya-Allah Taala, disampaikan Allah Taala juga tuanku ke Majapahit itu dan selamat kembali juga ke Melaka.


(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 132)


Berdasarkan kedua-dua petikan di atas, didapati bahawa terdapat penggunaan kata atau frasa Arab iaitu kata atau frasa yang digelapkan. Dalam petikan pertama, penulis menggunakan frasa Arab iaitu Bismi'llahi'rrahmani'rrahim; wabihi nasta'inu bi'llahi'l-a'la, manakala dalam petikan kedua, penulis menggunakan perkataan Arab insya-Allah Taala.


Bahasa Parsi


Dalam Hikayat Hang Tuah turut melibatkan penggunaan bahasa Parsi. Penggunaan perkataan dalam bahasa Parsi ini dapat dilihat melalui petikan di bawah, iaitu:


Setelah sudah diajarnya, Laksamana pun menuangkan arak lalu diberikannya pada Marga Paksi itu. Adapun arak itu dibihaus. Maka kata Marga Paksi, “Arak ini kalau-kalau engkau bubuh racun, minumlah engkau dahulu kulihat.


(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah: 320)


Berdasarkan petikan di atas, didapati terdapatnya perkataan ‘dibihaus’ iaitu perkataan Parsi yang membawa maksud dibius.


PANTUN


Pantun ialah ragam puisi yang hidup dalam kalangan rakyat dan bersifat kemelayuan. Khasnya pantun mempunyai sajak dan irama, pilihan suku kata dan perkataan. Pantun telah sedia hidup dalam masyarakat Melayu sudah lama sebelum orang-orang Melayu tahu menulis dan membaca. Orang Melayu mencipta pantun untuk melahirkan pelbagai bentuk perasaan dan merupakan satu seni yang indah. Mereka menggunakan pantun untuk berkasih-kasihan, memberi nasihat, suka-suka, berjenaka, menyindir dan untuk menyatakan rasa sedih.


Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011: 67), pantun ialah karya puisi Melayu lama yang bukan sekadar sarat dengan makna tetapi juga padat dengan nilai keindahannya. Nilai keindahannya dapat dilihat jika kita sensetif dan peka dengan struktur binaan dan gaya bahasa sesebuah rangkap pantun.

Dalam hikayat Hang Tuah, banyak pantun yang dimasukkan oleh pengarang teks ini. Terdapat satu adegan Hang Tuah berbalas pantun bersama-sama dengan sahabat-sahabatnya. Mereka berbalas pantun sambil bersuka ria di taman larangan Betara Majapahit. Hang Jebat dan Hang Kasturi memulakan pantun tersebut:


Hang Jebat Hang Kasturi,

Budak-budak raja Melaka,

Jika hendak jangan dicuri,

Mari kita bertentang mata

Laksamana pun membalas pantun:


Lokan melata di perahu,

Belah baling bertandan,

Bukan aku tiada tahu,

Akulah hulubalang minta lawan.

Hang Lekir membalas pantun, demikian bunyinya:


Adakah perisai bertali rambut,

Rambut dipintal akan cemara,

Adakah bisa tahu takut,

Kami pun muda lagi perkasa.

Hang Lekiu berpantun yang berbunyi:


Ambil galah kaitkan jantung,

Banyak makan di jalan,

Pada Allah tempat bergantung,

Datang tombak kita melawan.


(Hikayat Hang Tuah: 182-183)

Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page