top of page

Nilai Budaya Dan Pandangan Hidup

Budaya adalah daripada perkataan Sanskrit iaitu buddayah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti atau akal. Secara amnya, ia membincangkan hal-hal berkaitan budi dan akal manusia. Dalam pengertian yang luas pula, budaya bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia.

Budaya merupakan sesuatu yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi yang seterusnya. Budaya turut merujuk kepada keseluruhan pengertian, nilai, norma, ilmu pengetahuan serta struktur-struktur kemasyarakatan, keagamaan, penghasilan seni dan intelektual yang membentuk ciri-ciri khas sesebuah masyarakat. Dalam erti kata lain, budaya ini boleh dikatakan sebagai sebuah konsep menyeluruh yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam, kebolehan serta kebiasaan yang diperoleh oleh manusia sebagai anggota masyarakat. Dalam Hikayat Hang Tuah (HHT), terdapat beberapa nilai budaya yang menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup masyarakat pada zaman tersebut. Antaranya terdiri daripada budaya kecintan terhadap ilmu bahasa, budaya masyarakat yang memperlihatkan nilai-nilai keperwiraan pada zaman feudalnya, budaya masyarakat melayu yang mempercayai kedaulatan pada raja atau sultan yang memerintah serta akhir sekali ialah budaya kasih sayang dan meraikan Tetamu.


Budaya Kecintaan Terhadap Ilmu Bahasa


Dalam Hikayat Hang Tuah (HHT) ini, pengarang menyifatkan Hang Tuah sebagai seorang yang mencintai ilmu bahasa sejak kecil lagi. Kecintaannya pada ilmu bahasa sejak kecil ini seolah-olah sebagai pelengkap diri untuk menjadi seorang diplomat yang harus berinteraksi dengan manusia lain. Dengan mengetahui bahasa sesuatu bangsa lain maka mudah seseorang itu berinteraksi dan menempatkan diri sejajar dengan nilai dan budaya bangsa yang ditemui. Bahasa disini bukan sekadar pertuturan tetapi termasuklah budaya. Dalam hal ini, pengarang HHT seolah-olah telah merancang bahawa Hang Tuah yang gemar belajar itu akan menjadi diplomat apabila dia dewasa. Sejak kecil juga, Hang Tuah bukan sahaja mempelajari pelbagai ilmu bahasa, malah mempelajari ilmu lain seperti mengaji al-Quran, ilmu mempertahankan diri dan sebagainya. Contoh petikan yang menunjukkan Hang Tuah ini mencintai ilmu

bahasa ialah :


Telah sudah tamat pengajiannya, maka ia berkata kepada bapanya, “Ayuh bapaku, pada bicara hamba, hendak mengaji pada lebai Keling pula, supaya hamba tahu pula bahasanya.” Maka kata Hang Mahmud, “Benarlah seperti bicara anakku itu.” Maka Hang Tuah pun mengajilah pula pada seorang lebai Keling. Hatta, beberapa lamanya, maka tamatlah dengan bahasa Keling itu, habislah diketahuinya. Maka Hang Tuah pun berkata pada bapanya hendak mengaji pada lebai Siam pula diketahuinya akan bahasanya.


(Hikayat Hang Tuah: 23)


Budaya Masyarakat Yang Memperlihatkan Nilai-Nilai Keperwiraan Pada Zaman Feudalnya


Hang Tuah dan Hang Jebat sebagai wakil masyarakat memperlihatkan nilai-nilai keperwiraan yang didukung oleh masyarakat itu. Inilah determinisme atau ketentuan sosial dan sejarah. Namun demikian, masyarakat sebagai suatu kumpulan individu yang memiliki impian sejagat kemanusiaan sentiasa berjuang untuk melampaui batasan sosial dan sejarah itu, prinsip ketaatan mutlak kepada raja itu prinsip feudal, ia bercanggah dengan cita-cita keadilan yang terpendam dalam jiwa manusia. prinsip kedua inilah yang menyebabkan Hang Jebat memberontak terhadap rajanya sedangkan prinsip pertama membuat Hang Tuah menerima hukuman mati yang dikenakan oleh raja terhadapnya dan kemudian mnghalalkannya membunuh Jebat sebagai penderhaka.


Nilai-nilai keperwiraan yang dimiliki oleh Hang Tuah ini ditonjolkan dengan pelbagai keistimewaan. Salah satu daripadanya ialah apabila Hang Mahmud bermimpi bahawa bulan turun dari langit dan cahaya bulan tersebut memancar penuh di atas kepala Hang Tuah. Bukan itu sahaja, keperwiraan Hang Tuah juga ditonjolkan dengan kemahirannya menggunakan keris taming sari.



Budaya Masyarakat Melayu Yang Mempercayai Kedaulatan Pada Raja Atau Sultan Yang Memerintah


Sultan atau raja dalam HHT merupakan ketua pentadbir kerajaan Melaka yang sangat dihormati dan disanjungi oleh masyarakat Melayu di Melaka pada zaman tersebut. Masyarakat Melayu tradisional amat mempercayai kedaulatan yang ada pada raja atau sultan yang memerintah. Bahkan, waris raja atau sultan juga dianggap sebagai golongan yang memiliki kedaulatan. Ungkapan daulat digunakan dalam setiap komunikasi dengan raja iaitu dalam setiap permulaan kata-kata atau dalam setiap perbualan antara pembesar atau rakyat dengan raja bagi menunjukkan sembah hormat mereka terhadap raja. Daulat juga digunakan bagi menggambarkan kebesaran raja yang menjadi pegangan semua rakyat supaya taat dan setia terhadap raja. Penggunaan kata daulat boleh dilihat dalam teks di bawah :


“Daulat tuanku, patik sekalian ini hamba yang daif lagi hina memohonkan ampun dan kurnia ke bawah Duli Syah Alam."


(Hikayat Hang Tuah: 17)


Daulat bukan sahaja melambangkan kebesaran raja atau sultan pada zaman kesultanan Melaka, tetapi juga melambangkan betapa sultan pada masa tersebut mempunyai satu kuasa yang luar biasa. Sehinggakan sesiapa sahaja yang menderhaka kepada sultan atau raja akan mendapat bala, walaupun tidak secara terang-terangan. Oleh sebab daulat inilah menjadikan masyarakat Melayu sebagai masyarakat yang amat taat dan setia kepada sultan. Daulat melambangkan kemuliaan dan kesuciaan raja, maka disebabkan itu rakyat menganggap bahawa sultan tidak boleh dihina atau dicaci. Penghinaan terhadap raja atau sultan secara langsung atau tidak langsung akan membawa kemudaratan kepada mereka.


Budaya Kasih Sayang Dan Meraikan Tetamu


Kasih sayang merujuk kepada nilai budaya yang bersifat semula jadi dan bersifat ‘aradhi’ (mendatang). Kasih sayang ialah cenderung dan tertariknya hati seseorang secara mendalam kepada seseorang yang lain atau kepada selain manusia, iaitu benda-benda dan makhluk lain. Antara perkara-perkara yang menarik hati seseorang manusia kepada manusia lain ialah kecantikan, ilmu, kepimpinan, jasa, hubungan darah, kekuatan, akhlak dan sebagainya. dalam Hikayat Hang Tuah, kita dapat melihat bagaimana nilai kasih sayang diterapkan oleh pengarang. Nilai kasih sayang ini dapat dilihat melalui hubungan ibu, bapa dan anak, sebagai contohnya:


Maka pada malam itu Hang Mahmud bermimpi bulan turun dari langit; maka cahayanya penuh di atas kepala Hang Tuah. Hang Mahmud pun terkejutlah lalu bangun daripada tidur, lalu diriba anaknya Hang Tuah dan diangkatnya, maka diciumnya seluruh tubuh. Didengar oleh ibu Hang Tuah kata suaminya itu, maka segera dilangirinya dan dimandikan anaknya itu. Maka diberinya berkain dan berbaju dan destar serba putih. Maka diberinya makan nasi kunyit dan telur ayam dan pemberi arwah akan orang tua-tua dan disuruh bacakan doa selamat.


(Hikayat Hang Tuah: 22)


Dalam petikan di atas, kita dapat melihat nilai kasih sayang seorang ibu dan bapa kepada seorang anak. Sifat penyayang Hang Mahmud dan Dang Merdu terhadap Hang Tuah ini digambarkan dengan pelukan dan ciuman yang diberikan kepada Hang Tuah serta segala kelengkapan dan keperluan Hang Tuah diberi keutamaan seperti makanan, pakaian, ilmu pengetahuan dan sebagainya.


Seterusnya, budaya atau amalan meraikan tetamu juga merupakan satu nilai yang penting dalam masyarakat Melayu. Tetamu hendaklah dilindungi, dimuliakan dan dilayan dengan sebaik mungkin, malah tuan rumah disunatkan berkorban dan tidak mementingkan diri sendiri demi menjaga dan menghormati tetamu. Oleh yang demikian, tetamu sentiasa dipandang baik oleh orang Melayu dan diraikan dengan sebaik-baiknya. Antara contoh petikan dalam Hikayat Hang Tuah yang menggambarkan orang Melayu menghormati tetamu ialah seperti di bawah berikut :


Berapa lamanya belayar itu maka sampailah ke Bentan. Maka segala orang kaya-kaya dan segala rakyat dalam negeri itu pun sekalian datang menyambut raja dengan segala bunyi-bunyian terlalu gempita bunyinya. Maka sekalian pun sujud mengatakan, “Daulat Syah Alam.” Maka Sang Maniaka pun disambut oranglah, dinaikkan ke atas tandu. Maka payung iram kuning pun terkembanglah dan gendang arak-arakan pun dipalu oranglah.


(Hikayat Hang Tuah: 18)


Manakala konsep pandangan hidup secara umumnya mengenai pandangan hidup alam semesta secara keseluruhan terutamanya dilihat melalui satu sudut pandangan yang dipengaruhi oleh satu sistem nilai yang tertentu. Selain itu, mereka turut berpendapat bahawa pandangan hidup merupakan suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu, bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Setiap masyarakat, khususnya orang Melayu mempunyai pandangan hidup yang lazimnya melibatkan hubungan manusia dengan Tuhan, alam dan hubungan sesama manusia serta terperinci kepada tiga bahagian iaitu bahagian keluarga, pemimpin dan masyarakat.


Pandangan hidup dalam Hikayat Hang Tuah melibatkan cara idealisme pengarang dalam menonjolkan pemikiran, falsafah, peraturan dan kepercayaan orang Melayu pada ketika itu. Sehubungan itu, pandangan hidup dalam hikayat ini boleh dikaitkan dengan pegangan-pegangan masyarakat Melayu terhadap sesuatu perkara yang khususnya memberikan impak positif dan negatif terhadap kehidupan mereka. Dalam proses meneliti konsep pandangan hidup yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, pengkhususan dibuat kepada konsep falsafah, pegangan atau kepercayaan, peraturan atau adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu atau lakaran watak Hang Tuah itu sendiri. Pandangan hidup atau falsafah hidup tersebut akan berfokus kepada pandangan hidup berteraskan Islam dan Melayu.


Pandangan Hidup Berteraskan Islam


Pandangan hidup berteraskan Islam merupakan pendekatan pengarang dalam memasukkan beberapa falsafah hidup yang mengikuti ajaran Islam dan hukum syarak. Misalnya dalam Hikayat Hang Tuah, pandangan hidup berteraskan Islam dapat dilihat melalui konsep keadilan, perkahwinan dan konsep dosa. Antara huraian adalah seperti berikut:


Konsep keadilan


Pengarang meletakkan konsep keadilan ini melalui sistem pentadbiran. Contohnya, Raja Sang Maniaka dibantu oleh Bendaharanya, Paduka Raja. Raja merupakan ‘payung’ yang melindungi rakyatnya. Pentadbiran negara dilakukan dengan adil dan saksama sebagaimana yang ditunjukkan dalam Hikayat Hang Tuah. Dalam teks-teks itu telah diberi pengajaran bahawa kezaliman raja, sikap tamak, perbuatan rasuah, penyelewengan kuasa adalah faktor yang menghancurkan negara. Sebaliknya, keadilan, kesepakatan, persefahaman dan kesetiaan adalah kunci penting dalam menjaga keselamatan negara.


Konsep Perkahwinan


Perkahwinan yang berlandaskan hukum syarak melarang umat Islam berkahwin dengan pasangan yang mempunyai pertalian darah mahupun saudara susuan. Berdasarkan Hikayat Hang Tuah menyentuh tentang perkahwinan yang mengikut hukum syarak seperti contoh petikan di bawah :


“ Maka dipeluk dan dicium akan menantunya tuan puteri itu. Maka Sang Perta Dewa pun berlengkap akan pekerjaan anakanda baginda Sang Sapurba kahwin dengan tuan puteri itu.


(Hikayat Hang Tuah, 11)


Petikan menjelaskan bahawa Sang Sapurba mengikut hukum syarak dalam konsep perkahwinan melalui perkahwinan baginda dengan seorang puteri yang tidak mempunyai hubungan pertalian darah dengannya.


Konsep Dosa


Konsep dosa ini menunjukkan satu bentuk falsafah atau pandangan hidup masyarakat Melayu zaman feudal, terutamanya dalam watak Hang Tuah. Menurut Mohd Yusoff Hashim (22:2008), masyarakat Melayu yang meletakkan konsep menderhaka sehingga meletakkannya sebagai satu dosa yang besar kerana terdapatnya kewajipan bagi rakyat taat setia kepada Allah, Rasul dan raja (ketua atau pemimpin) agar mendapat keberkatan dunia dan akhirat. Hal ini boleh dirakamkan secara eksplisit oleh pengarang Hikayat Hang Tuah dalam memetik ucapan Hang Tuah kepada rakannya Hang Jebat yang dikatakan ‘derhaka’ kepada raja, contoh petikan:


“Adapun pekerjaanmu itu…. berapa-berapa dosanya kepada Allah, tiada tertanggung olehmu di dalam akhirat jemah


(Hikayat Hang Tuah, 315)


Hal berikut dapat dihubungkaitkan dengan perintah Allah di dalam Al-Quran, ayat 59; Surah An-Nisa’ dengan firman-Nya berbunyi “Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad) dan ulil amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu…” Berdasarkan pendekatan dimensi ini, nyatalah taat setia Hang Tuah kepada raja dan kerajaan Melaka bukan setakat mengandungi ertian sekularnya dan pada konteks pemikiran Melayu dalam membina sebuah tamadun, malah menepati konsepsi kepimpinan dan selaras dengan aturan hidup beragama yang berteraskan Islam.


Pandangan Hidup Berteraskan Melayu


Penelitian pendekatan pengarang terhadap pandangan hidup berteraskan Melayu dapat dilihat atau digambarkan tentang ciri-ciri masyarakat Melayu dan konsep kemelayuan yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah. Antara konsep-konsep pandangan hidup yang berteraskan Melayu melibatkan konsep sistem pentadbiran, pewarisan takhta, kepentingan sifat budi pekerti, kehebatan dan taraf Laksamana, pembentukan keperibadian, kedaulatan raja, kepentingan menjaga maruah, dan pantang larang.


Sistem Pentadbiran


Pandangan hidup berteraskan Melayu dalam Hikayat Hang Tuah menonjolkan pengamalan adat Temenggung dalam sistem pentadbirannya. Dalam sistem pentadbiran ini bersifat aristokrasi yang meletakkan raja atau sultan mempunyai kuasa tertinggi dalam sistem pentadbiran negara dengan keistimewaannya yang tersendiri. Maka wujudlah istilah derhaka yang meletakkan peraturan bahawa setiap perkara yang dilakukan oleh raja perlu diikuti oleh rakyat dan raja mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan. Contoh petikan:


“Maka kata laksamana seraya memekis, katanya. “Cih, mengapa pula begitu? Si Tuah tiada mahu derhaka. Daulat Tuanku, patik persembahan nyawa patik, patik tiada bertuankan yang lain.


(Hikayat Hang Tuah, 283)


Petikan di atas menunjukkan bahawa orang bawahan, iaitu Hang Tuah yang berperanan sebagai laksamana sanggup mempertaruhkan nyawanya atas sebab tidak mahu menderhaka kerana raja mahu dirinya dibunuh hanya dengan tujuan untuk mengetahui keadaan apabila berada di alam kubur.


Pewarisan Harta Dan Pangkat


Masyarakat Melayu yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah mengamalkan adat Temenggung yang mempunyai pandangan hidup dengan mementingkan pangkat iaitu pangkat diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Contoh petikan :


“ Adapun nama baginda itu Sang Perta Dewa. Adapun Sang Perta Dewa itu tahu akan dirinya akan beroleh anak; maka anaknya itu akan menjadi raja kepada Bukit Siguntang; maka daripada anak cucu baginda itu akan menjadi raja.


(Hikayat Hang Tuah, 3:1995)


Petikan di atas menerangkan bahawa pewarisan takhta daripada Sang Perta Dewa kepada anaknya untuk menjadi raja di Bukit Siguntang dan seterusnya diwarisi oleh anak cucu baginda untuk memegang takhta.


Pembentukan Keperibadian (Latar Belakang)


Pandangan hidup Melayu dalam Hikayat Hang Tuah memperlihatkan bahawa masyarakat yang hidup miskin atau sederhana dapat membentuk suatu keperibadian yang mulia kerana masyarakat yang susah akan lebih mengenal erti kehidupan dengan merapatkan diri dengan Tuhan dan alam sehingga mempunyai pengetahuan yang tinggi. Sebagaimana yang digambarkan dalam watak Hang Tuah, iaitu wira Melayu ini tidak dilakarkan wataknya sebagai orang yang dilahirkan dalam golongan bangsawan atau kerabat diraja, tetapi Hang Tuah merupakan seorang yang digambarkan kisah hidupnya dan keluarganya yang miskin di suatu kawasan dalam Melaka.


Menurut Harun Jaafar (91:2004), Hikayat Hang Tuah dimulakan dengan kisah hidup Hang Tuah dan keluarganya yang miskin di Sungai Duyung, Melaka serta bersahabat baik dengan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Lekir. Gambaran Hang Tuah sebagai seorang yang lahir daripada keluarga miskin dan mempunyai keperibadian sempurna meletakkan suatu pandangan hidup dalam masyarakat Melayu bahawa seseorang yang hidup dala keadaan serba kekurangan dan sederhana akan lebih harmoni dalam kehidupannya dan pergaulannya dengan orang lain. Sebaliknya pula bagi golongan atasan yang hidup dalam keadaan mewah dan serba serbi lengkap menunjukkan kurangnya hubungan dengan orang lain atau wujudnya perbatasan antara dirinya dengan orang lain serta mempunyai unsur negatif melalui keperibadiannya seperti seorang yang sombong atau tamak. Contoh petikan yang menunjukkan latar belakang Hang Tuah seperti berikut :


“ The narration of the hikayat now turn to Hang Tuah, the son of Hang Mahmud, who lived on the banks of the Duyung River… As Hang Tuah grew older, he learnt the ways of his mother an father… When he had mastered these twelve languages, he returned home to live with his mother dan father. With his father he would venture forth daily to gather firewood, splitting it with an axe in front of the shop… It was in such a fashion that Hang Tuah learned the code of proper conduct and courtesy prevailing in Bentan.


(The epic of Hang Tuah,20: 2010)


Pantang Larang


Pantang larang seperti sudah sinonim dengan kehidupan orang Melayu kerana ia menjadi prinsip dan peraturan yang perlu diikuti oleh masyarakatnya untuk mencapai kesejahteraan dalam hidup. Ahmad Sarji turut menyatakan bahawa seorang hulubalang itu terikat oleh satu kod pantang larang. Contohnya, apabila seorang hulubalang ke sungai, tidak boleh berkata-kata sehingga habis melintasi sungai tersebut, tidak boleh bunuh lawannya yang tiada bersenjata, tidak boleh tikam sehingga dua kali, tidak dapat mendengar kata-kata yang keji di majlis, pantang dicabar dan tidak tahu takut seperti peristiwa Hang Tuah menaiki kuda taji dan memanjat pokok kelapa gading sedangkan tiada seorang pun yang berani berbuat demikian. Gambaran-gambaran berikut menunjukkan pandangan hidup Melayu dalam kehidupan mereka sehingga mewujudkan pelbagai pantang larang termasuklah pantang larang yang perlu diikuti oleh seorang hulubalang.

Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page