top of page

Falsafah Dalam Hikayat Hang Tuah

  • Farah
  • Mar 26, 2016
  • 7 min read

Dalam karya agung Melayu, ilmu falsafah amat dititikberatkan. Perkataan “falsafah” berasal daripada bahasa Yunani atau Greek Purba. Perkataan falsafah merupakan gabungan dua perkataan, iaitu philo yang bermaksud cinta dan perkataan kedua ialah sophia yang bererti kebijaksanaan. Secara ringkas, falsafah boleh diertikan sebagai cinta akan kebijaksanaan. Manakala, menurut Kamus Dewan Edisi keempat, falsafah boleh diertikan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu yang lain. Bagi Hashim Hj. Musa pula, falsafah merupakan kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Pentakrifan yang dibuat oleh tokoh Melayu masih lagi berkisar tentang cakupan keseluruhan ilmu dan bidang tentang pengetahuan manusia. Menurut Seri Lanang Jaya (2016), falsafah merupakan cinta kepada ilmu dan kebenaran. Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Antara bidang falsafah ialah etika, metafizika, sejarah, sosial, ekonomi, kosmologi, politik dan logik.


Penceritaan dalam karya klasik Hang Tuah mempunyai ilmu falsafah yang tersendiri. Antara ilmu falsafah yang terkandung dalam Hikayat Hang Tuah ialah bidang falsafah etika. Bidang falsafah etika merupakan pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Contoh bidang falsafah etika yang terkandung dalam Hikayat Hang Tuah ialah kehebatan dan kepentingan ilmu persilatan. Kepentingan ilmu persilatan yang ditonjolkan oleh penulis dalam hikayat ini melambangkan seni mempertahankan diri masyarakat Melayu. Dalam karya ini, Hang Tuah merupakan seorang laksamana dan hulubalang Melayu yang terulung pada zaman kegemilangan Kerajaan Empayar Laut Melayu Melaka zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah dan awal zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah yang sudah tidak asing lagi kepada masyarakat umum Nusantara malah masyarakat Asia Tenggara dan sebahagian kecil dunia amnya. Kehebatan ilmu persilatan Hang Tuah adalah berpaksikan dan berpunca daripada ilmu zahir dan batin Tiga Orang Guru beliau berserta sebilah keris penduanya yang sakti, iaitu Keris Taming Sari dan keris berjasanya iaitu keris utamanya `Keris Panjang Tempa Melaka` serta sebilah pisau kecil hikmat yang selalu tidak berpisah dengan beliau yang rahsianya hanya terbongkar sewaktu perpisahan beliau dengan gurunya seorang Syeikh Sufi di hulu Melaka iaitu Syeikh Mansur yang ternyata melalui dialog ini:


“Ya tuanku, suatu pun tiada persembah (hadiah untuk guru sebagai membalas budi-p) hamba ka-bawah kadam (yang mulia-p) tuanku, hanya-lah pisau (badik?-p) sa-bilah ini (untuk-p) permainan tangan (pakaian-p) tuanku.` Maka di-sambut oleh Syeikh pisau itu, maka di-lihat-nya pisau itu sarong-nya daripada emas sa-puloh mutu di-tatah mas permata sembilan bagai, shahadan hulu-nya daripada chula (tanduk). Maka pada hulu-nya suatu intan dibuboh-nya, chahaya-nya amat gilang-gemilang dan mata pisau itu terlalu baik (dari segi tempaan besinya dan ukuran tuahnya-p). Maka sheikh pun terlalu sukacita seraya berkata, `Sunggoh-lah tuan anak kepada-ku (sanggup menghadiahkan barang yang amat bernilai sabagai tanda kasihnya-p). Bermula pisau itu sa-buah negeri dengan isi-nya tiada ku tukarkan. Ada pun kasih anak-ku itu Allah Ta`ala juga membalas dia, tetapi (walau pun pisau bertuah dan berhikmat ini tiada lagi pada Hang Tuah-p) insha Allah Ta`ala, barang di-mana tempat anak-ku itu dipeliharakan Allah subhanahu wa Taala juga, bala di-jauhkan Allah Ta`ala pada kadam. `Sa-telah sudah Sheikh Mansur memberi do`a akan Laksamana, Laksamana pun sujud pada kaki sheikh (maksud – merendah diri kepada guru dengan cara mencium tangan orang yang suci hati dan kerana menghormati ilmu agama serta ilmu ketuhanan yang ada di dalam dadanya - bukan perbuatan sujud fizikal pada kaki manusia - kerana perbuatan begitu syirik dan berdosa besar dalam Islam-p) itu lalu ia bermohon. Maka sheikh pun memelok mencium Laksamana. Maka Tun Pekerma dan Tun Kasturi pun bemohonlah (permisi) pada sheikh itu.


(Hikayat Hang Tuah: hlm 308)


Selain itu, dalam karya klasik Hang Tuah juga menerapkan falsafah keberanian. Dalam karya klasik Hang Tuah, falsafah keberanian dan ketabahan ditonjolkan oleh penulis sebagai lambing kekuatan orang Melayu. Keberanian dan ketabahan Hang Tuah dan ahli rombongan peminangan dikagumi oleh Seri Betara Majapahit sehingga baginda menganugerahkan gelaran Penggawa Agung kepada Hang Tuah yang bertaraf timggi selepas kedudukan Patih Gajah Mada.

Falsafah kebijaksanaan juga ditonjolkan dalam Hikayat Hang Tuah. Falsafah ini ditonjolkan bagi melambangkan masyarakat Melayu pada zaman tersebut bijak dalam melakukan sesuatu perkara. Kebijaksanaan Hang Tuah terserlah apabila beliau berjaya mengenal pasti dan mengubati penyakit kuda tezi yang liar yang gagal ditunggangi oleh sesiapa pun. Kuda tezi bingkisan Sultan Sang Jaya Nantaka itu berenyakit kerana mewarisi tabiat kerbau, iaitu apabila kepenatan akan mencari sungai tempat berkubang. Penjelasan ini mendatangkan kemarahan utusan benua keeling, Orang Kaya Sang Perdana dan Sang Ratna Setia kerana berasa terhina. Akhirnya Hang Tuah dapat menyembuhkan penyakit kuda tezi tersebut dalam masa 7 hari. Kemudian rombongan utusan Melaka selamat kembali ke Melaka dengan membawa utusan Majapahit yang menerima peminangan Raja Melaka terhadap Raden Mas Ayu. Sifat Berani Hang Tuah merupakan tokoh utama dalam Hikayat Hang Tuah. Keberanian Hang Tuah jelas terlihat ketika beliau berada di Majapahit. Hang Tuah sentiasa berwaspada dan beringat-ingat dengan tindakan beliau ketika menentang musuh-musuh yang cuba menentangnya. Keberanian Hang Tuah mendapat perhatian daripada Betara Majapahit dan mengakui dengan dialognya menyatakan bahawa:


“….adapun kulihat Laksamana itu bukan barang-barangorang dan bukan barang-barang hulubalang dengan beraninya dan bijaksananya; syahadan tahunya padailmu firasat dan penjurit ; dan tahu bermain senjata jangan dikata lagi;…….


(Hikayat Hang Tuah: hlm169)


Hang Tuah juga menggunakan kepintarannya untuk mendapatkan semula keris Taming Sari dari Hang Jebat semasa mereka berlawan. Hang Tuah cuba melekakan Hang Jebat dengan kata-kata yang menunjukkan simpati terhadap Hang Jebat;


“Hai Si Jebat, apatah dayaku kerana aku dititahkan raja membuangkan engkau ? Dalam pada itupun, jika engkau berdosa ini lain daripada dosa yang demikian, tahu juga kupohonkan. Yang engkau dan Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang Lekiu ini bukanlah sahabat lagi padaku, penaka saudaraku;ah. Sukar aku berkata.”


(Hikayat Hang Tuah: hlm 390)


Dengan ini dapat dilihat bahawa keberanian dan kebijaksaan dalam membuat keputusan itu perlu diambil dengan kadar yang rasional mengikut keperluan pada sesuatu masa. Dengan menggunakan keberanian dan kebijaksanaan yang ada dengan baik, Hang Tuah mampu untuk mengatasi segala masalah yang menimpanya. Perkara seperti ini sengaja ditonjolkan untuk menunjukkan kehebatan orang Melayu pada zaman itu.


Hikayat Hang Tuah juga menerapkan falsafah dari segi nilai kepahlawanan. Hikayat ini menceritakan kegagahan dan kekuatan serta kehandalan dalam meneroka lautan. Semasa kecil keunggulan Hang Tuah sebagai wira yang ideal telah menyerlah daripada sikapnya yang suka mandiri sehingga berani meneroka kautan dengan menaiki perahu lading. Sifat kembara yang ada pada dirinya ini berterusan sehingga peringkat dewasa. Begitu juga sifat beraninya telah ditonjolkan sewaktu mengalahkan lanun yang cuba menangkapnya dan empat temannya yang lain. Kepahlawanan Hang Tuah juga sering dtonjolkan sewaktu berhadapan dengan musuh. Beliau sering menunjukkan keberaniannya secara mencabar.


“ Ceh, barang siapa undur setapak juga, kupenggal lehernya dengan tempa Melaka ini. Bukan orangnya yang hendak digertak-gertak.


(Hikayat Hang Tuah: hlm 109)


Falsafah kepahlawanan yang ditonjolkan oleh Hang Tuah merupaka satu makna falsafah yang sengaja ditonjolkan oleh penulis sebagai lambing kekuatan kepada masyarakat Melayu.


Disamping itu, penulis juga menerapkan unsur falsafah kekuasaan raja dalam karya klasik Hang Tuah. Penulis banyak menyelitkan falsafah tentang kesetiaan rakyat kepada raja. Penonjolan raja dalam Hikayat Hang Tuah bertujuan untuk menunjukkan kewibawaan seorang raja yang berbeza daripada manusia biasa. Kedudukan sultan dalam Hikayat Hang Tuah seolah-olah sebagai manusia dewa yang mencipta dan mengatasi undang-undang. Dengan itu, urusan yang berkaitan dengan raja harus diutamakan daripada urusan peribadi. Gambaran seperti ini banyak ditonjolkan dalam Hikayat Hang Tuah sehingga ungkapan “Tiada adat hamba Melayu menderhaka kepada raja” terus disebut berulang kali. Raja dipercayai mempunyai daulat dan seseorang yang menentang raja dapat dianggap sebagai mencabar kedaulatan raja.

Falsafah kesetiaan juga ditunjukkan oleh Hang Tuah dalam Hikayat ini. Ketaatan Hang Tuah kepada rajanya berulangkali diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah. Gambaran ini dapat dilihat sewaktu Hang Tuah pulang dari negeri Pahang setelah berjaya membawa lari Tun Teja.


“ Daulat tuanku Syah Alam, patik ini hamba yang hina memohonkan ampun dan kurnia di bawah Duli yang Dipertuan akan patik ini, kerana hamba Syah Alam Duli Syah Alam. Maka hamba Syah Alam pun harap akan ampun Syah Alam kerana si Tuah tiada mau bertuan lain daripada anak cucu Duli Syah Alam. Tatkala patik di Inderaputra beberapa kali raja Inderaputra hendak anugerah nama laksamana akan patik dan hendak kurnia bininya akan patik, patik tiada mau, mohonkan juga patik, kerana patik Melayu tiada mau sedemikian; sehingga mati sudahlah yang bernama tuan lain daripada anak cucu Syah Alam itu mohonlah patik. Bahawa si Tuah sekali-kali tiada mau mengubahkan setianya dan katanya


(Hikayat Hang Tuah: hlm 220)


Raja dianggap sangat mulia kedudukannya dan mempunyai kuasa yang tinggi. Kesetiaan dan menghormati institusi diraja sangat penting kepada masyarakat Melayu. Hang Tuah juga sanggup membelakangkan persahabatannya dengan Hang Jebat kerana mengikut perintah raja untuk membunuh Hang Jebat. Sifat taat setia Hang Tuah kepada raja juga terserlah apabila beliau sanggup dibunuh biarpun tidak bersalah. Hukuman bunuh yang dititahkan ke atas Hang Tuah terjadi sebanyak dua kali, namun beliau tidak pernah menyimpan dendam kepada raja malah menerimanya dengan penuh sifat kesetiaan.


“…..maka Laksamana pun menguinus kerisnya dari pinggangnya lalu dipersembahkannya pada Bendahara; demikian katanya, “Alhamdulillah! Si Tuah tiada bertuan dua tiga dan Si Tuah tiada mau derhaka kepada tuannya.”


(Hikayat Hang Tuah: hlm 207)


Sikap kesetiaan Hang Tuah mampu memberi inspirasi kepada pengarang dan pembaca dalam kehidupan seharian dan mampu untuk dijadikan falsafah hidup dan diadaptasikan dalam kehidupan pada zaman kini.


Seterusnya, penulis juga menerapkan falsafah pendidikan dan nilai-nilai murni. Dalam Hikayat Hang Tuah, penulis cuba menonjolkan nilai cintakan ilmu sebagai lambang orang Melayu pada zaman dahulu. Sifat kembara yang terdapat pada Hang Tuah bukan sekadar untuk berseronok malahan diselitkan dengan kembara mencari ilmu.


“ Telah berapa lamanya Hang Tuah mengaji Quran, maka pengajian itu pun tamatlah. Maka Hang Tuah mengaji nahu pula. Telah sudah tamat pengajiannya, maka dia berkata kepada bapanya. ‘Ayo bapaku,pada bicara hamba, hendak mengaji pada lebai Keling pula, supaya hamba tahu pula bahasanya.’ Maka kata Hang Mahmud, ‘Benarlah seperti bicara anakku itu.’ Maka Hang Tuah pun mengajilah pula pada bapanya hendak mengaji pada lebai Siam pula supaya diketahuilah akan bahasanya. Setelah sudah diketahuinya akan bahasa Siam itu, maka Hang Tuah pun mengaji pula pada lebai Jawa hendak diketahuinya akan bahasa Jawa itu. Kalakian, setelah habislah rata diketahuinya dua belas bahasa itu, maka Hang Tuah pun pulanglah ke rumahnya.


( Hikayat Hang Tuah: hlm 21)


Cintanya kepada ilmu bahasa bersemi sejak kecil lagi seolah-olah sebagai kelengkapan diri untuk menjadi seorang diplomatik yang harus berinteraksi dengan manusia lain. Dengan mengetahui bahasa sesuatu bangsa lain memudahkan seseorang itu berinteraksi dan menempatkan diri sejajar dengan nilai dan budaya bangsa yang ditemui.


Secara kesimpulan, analisis terhadap karya agung klasik Hikayat Hang Tuah daripada aspek falsafah melalui identifikasi perwatakan, jalinan plot, penceritaan latar dan konflik-konfliknya. Antara analisis yang dibuat dalam Hiakayat hang Tuah adalah falsafah etika, falsafah pendidikan, falsafah dari segi nilai kepahlawanan, falsafah kekuasaan raja dan falsafah pendidikan dan nilai-nilai murni.




 
 
 

Comments


Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
  • Grey Facebook Icon
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Google+ Icon
bottom of page