top of page

Pemikiran Hikayat Hang Tuah

  • Arfaneen
  • Mar 26, 2016
  • 7 min read

Definisi Pemikiran


Dalam sesebuah buku, biasanya pengarang buku akan cuba mengetengahkan pemikiran ke dalam karya. Hal ini demikian kerana, pemikiran merupakan tonggak utama dalam sesebuah karya. Begitu juga halnya dengan Hikayat Hang Tuah (HHT).Pengarang telah mengetengahkan pemikiran yang tersendiri. Istilah pemikiran itu pada asalnya terbit daripada kata akar ‘fikir’ (S. Othman Kelantan, 1997). Perkataan itu berasal dari istilah Arab ‘fikrun’ atau ‘aftar’. Dua perkataan ini membawa maksud ‘fikiran’. Menurut S. Othman Kelantan (1997: 6) lagi, kalimat fikir dan fikiran itu diertikan sebagai “ingatan, angan-angan, renung, akal; anggapan, pendapat, sangka, kira ; daya berfikir, akal, ingatan; hasil pemikiran, pendapat, pertimbangan, upaya, muslihat”. Di samping itu, S.Othman Kelantan (1997) turut menjelaskan bahawa pemikiran merupakan satu fikiran atau idea yang muncul dan wujud dari golongan bijak pandai. Golongan ini menggunakan akalnya dalam memikirkan konflik yang dihadapi oleh masyarakat dalam lingkungannya, dan pemikiran tersebut dilebarkan oleh golongan cerdik pandai ke luar lingkungannya.



PEMIKIRAN DALAM HIKAYAT HANG TUAH

Pemikiran yang diketengahkan oleh penulis dalam HHT ini ialah keperwiraan dan kepahlawanan Hang Tuah. Jika kita menganalisis keseluruhan hikayat ini, lebih daripada separuh jalan cerita yang dihasilkan oleh pengarang berkaitan dengan kehebatan Hang Tuah sebagai seorang pahlawan Melayu ketika zaman feudal dahulu. Memetik kata-kata Parnickel, 1976 (Abdul Rahman Napiah, 1994 :3-4), keistimewaan terletak pada kejayaannya mengungkapkan pelbagai persoalan dan nilai serta budaya orang Melayu pada abad ke-15, dan yang paling menarik ialah gambaran tentang kepahlawanan Hang Tuah. Selain daripada itu juga, Kassim Ahmad turut menyatakan bahawa HHT ini terarah kepada keperwiraan Hang Tuah dalam kajian yang beliau jalankan.



1 .Keperwiraan Hang Tuah

Dalam HHT ini, lebih separuh daripada jalan ceritanya menonjolkan keperwiraan Hang Tuah. Pelbagai cerita telah dilakarkan oleh pengarang untuk menunjukkan bahawa Hang Tuah merupakan perwira Melayu yang unggul pada ketika itu. Perkara ini dibuktikan apabila ayah Hang Tuah telah bermimpi ketika Hang Tuah masih kecil lagi bahawa terdapat cahaya bulan dari langit yang turun ke atas kepala Hang Tuah. Berdasarkan mimpi tersebut, ayahnya beranggapan bahawa Hang Tuah adalah seorang yang bertuah, yang bakal mendukung kedaulatan negeri Melaka ( Noriah Mohamed, 1997).


“Maka pada malam itu Hang Mahmud bermimpi bulan turun dari langit; maka cahayanya penuh di atas kepala Hnag Tuah. Hang Mahmud pun terkejut lalu bangun daripada tidur, lalu diriba anaknya Hang Tuah dan diangkatnya…


(Kassim Ahmad, 1997 : 23)


Selain itu juga, jika kita membaca HHT ini, kita akan melihat penulis mengambarkan bahawa kebahagiaan atau kemakmuran negeri Melaka itu terletak atau dikaitkan dengan ketokohan yang dimiliki oleh Hang Tuah. Ketika Hang Tuah masih lagi gagah, kedudukan negeri Melaka sangat gemilang dan tinggi di nusantara, tetapi apabila Hang Tuah kehilangan kerisnya, kegemilangan Melaka telah suram dan Melaka juga diserang Portugis. Di sini jika kita selidiki, pengarang cuba menyatakan kepada kita bahawa negeri Melaka itu bergantung sepenuhnya kepada pahlawan Melayu klasik itu, iaitu Hang Tuah.


“Bermula Laksamana pun berdemikianlah juga selama hilang kerisnya itu, gila – gila dengan sakit kepalanya dan tubuhnya demam. Maka ia pun tahulah akan dirinya”.


(Kassim Ahmad, 1997 : 480)


Di samping itu juga, keperwiraan Hang Tuah telah ditunjukkan oleh pengarang sejak wira ini masih kecil lagi. Hang Tuah dan rakan-rakannya yang lain seperti Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu telah berjaya mengalahkan musuh yang menaiki tiga buah perahu di sebuah pulau ketika mereka berlima belayar. Walaupun pada ketika itu, Hang Tuah baru berusia 10 tahun, beliau telah berjaya mengalahkan musuh yang lebih tua dan besar daripada tokoh epik nasional ini.


“Maka tatkala itu Hang Tuah kelima bersaudara itu pun sudah memegang tiga bilah seligi pada seorang. Apabila hanpir musuh itu ke hadapan Hang Tuah, maka ditikam oleh Hang Tuah, kena pahanya, lalu tiada dapa bangkit lagi


(Kassim Ahmad, 1997 : 26)



Oleh sebab itu, boleh kita simpulkan bahawa pemikiran utama yang diketengahkan oleh pengarang dalam HHT ini adalah keperwiraan pahlawan Melayu feudal, iaitu Hang Tuah. Namun begitu, di samping keperwiraan Hang Tuah sebagai tonggak utama pemikiran cuba diketengahkan oleh pengarang, terdapat juga pemikiran yang lain bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Hang Tuah sebagai wira Melayu feudal pada ketika itu. Antara pemikiran lain adalah seperti yang disenaraikan di bawah ini.


a) Kesetiaan kepada Raja


Dalam HHT ini, penulis mengambarkan bahawa masyarakat zaman feudal sangat mendaulatkan raja sehingga rakyat tidak boleh melanggar perintah raja kerana dikhuatiri akan terkena tulah. Dalam HHT ini pelbagai peristiwa dilakarkan pleh penulis untuk menunjukkan bahawa rakyat zaman dahulu mengagungkan kedudukan raja. Jika dianalisis berdasarkan HHT ini, penulis cuba memaparkan perwatakkan Hang Tuah yang setia kepada rajanya. Kesetiaan Hang Tuah kepada raja tidak boleh disangkal oleh sesiapapun yang membaca HHT ini. Dia lambang kesetiaan Melayu, pembesar yang cinta kepada rajanya (Gazali Dunia, 1992). Hang Tuah telah dua kali dibuang raja, dan terakhir sekali beliau telah dijatuhkan hukuman bunuh oleh raja, namun Hang Tuah masih taat setia kepada Sultan Melaka. Ketika bendahara memberitahu titah raja yang mahu bendahara membunuh Hang Tuah, Hang Tuah tidak cuba membela dirinya tetapi dengan rela hati malah Hang Tuah sendiri yang menyerahkan kerisnya untuk digunakan membunuh dia sendiri.


“Setelah Laksamana menengar kata bendahara demikian itu, maka Laksamana pun mengunus kerisnya dari pinggangnya lalu dipersembahkannya pada bendahara; demikian katanya, Alhamdulillah! Si Tuah tiada bertuan dua tiga dan Si Tuah tiada mahu derhaka kepada tuannya. Segeralah datuk kerjakan titah Yang Maha Mulia itu


(Kassim Ahmad, 1997 : 193)


Penulis dengan jelas memberitahu kepada pembaca bahawa titah raja tidak boleh dibantah dan mesti ikuti walaupun jika kita fikir secara logik tindakan Raja Melaka itu salah kerana baginda tidak membuat usul periksa ketika menjatuhkan hukuman bunuh kepada Hang Tuah. Namun disebalik ini sebenarnya, penulis mahu menunjukkan kepada pembaca bahawa ketika zaman Melayu feudal itu, masyarakatnya sangat setia kepada raja. Manakala watak Hang Tuah itu pula sengaja diciptakan untuk mewakili masyarakat Melayu ketika itu.


“…Si Jebat orang yang tiada teguh setianya! Sungguhlah kamu orang yang hina. Manatah katamu tiada menyesal dan berani mati?


(Kassim Ahmad, 1997: 357)


b)Bijaksana dan Pintar


Dalam HHT ini, Hang Tuah digambarkan sebagai seorang pahlawan Melayu yang bijak dan pintar. Selain itu juga, beliau turut digambarkan sebagai seorang individu yang pandai menyesuaikan diri, namun mempunyai tipu muslihatnya. Hang Tuah bijak dalam memperdayakan musuhnya dengan tipu muslihat beliau. Contohnya beliau telah memperdayakan Hang Jebat dengan tipu muslihatnya apabila berjaya mengambil keris Taming Sari yang ada pada Hang Jebat dan berjaya membunuhnya.


“…Hai Si Tuah, demi Allah, bunuhlah aku, kerana tiada berkeris. Maka Laksamana pun undur sedikit seraya katanya sambil ketawa. Hai saudaraku kerana keris ini kerisu dianugerahkan oleh Betara Majapahit; sebab itulah maka aku ambil pula daripadamu.


(Kassim Ahmad, 1997 : 363)


Di samping itu juga, Hang Tuah juga bertindak bijak ketika beliau menjadi utusan Negara Keling ke Benua China. Contohnya ketika beliau mahu melihat rupa Raja China itu, beliau telah menyuap kangkung dengan mengangkat kangkung tersebut ke atas dahi gara-gara beliau mahu melihat rupa Raja China itu.


“Maka Laksamana pun mengambil sayur kangkung disuapnya dengan cikap emas itu lalu diangkatnya ke atas dahinya: maka disuapnya ke mulutnya sambil melihat Raja China itu, duduk di dalam mulut naga emas bersisik akan permata sembilan bagai rupanya…


(Kassim Ahmad, 1997: 413)



c) Pengembaraan


Dalam HHT ini, kita boleh melihat bahawa Hang Tuah merupakan seorang pengembara. Pengarang hikayat ini sengaja memasukkan elemen pengembaraan dalam hikayat ini supaya keperwiraan Hang Tuah itu lebih terserlah. Menurut Hamid Hasan (1970), HHT ini boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagian pertama berkaitan dengan perlawanan manakala bahagian dua pula berkaitan dengan pengembaraan. Dalam HHT ini, pengarang menulis cerita tentang pengembaraan Hang Tuah ke Majapahit, Inderapura dan Terengganu untuk menuntut ilmu. Di samping itu, Hang Tuah juga menjadi duta ke negara asing seperti ke Benua Keling, China, Siam, Rom dan Mesir. Selain pengarang mahu menunjukkan keperwiraan wira Melayu ini dalam HHT, beliau juga cuba memberitahu pembaca bahawa seorang wira itu hendaklah melalui banyak pengembaraan untuk mengukuhkan peranannya sebagai wira.


“Maka Laksamana pun berlayarlah dari sana, tiga hari tiga malam, suatu pun tiada dilihatnya melainkan langit dan air juga. Maka kata Laksamana, “Hai muali, belayar ini ada berapa hari lagi lagi maka sampai ke Benua Keling itu?” Maka kata mualim itu, “Hampirlah jajahan Benua Keling; esok hari sampailah kita melihat alamat.” Setelah pagi-pagi hari maka kelihatan jajahan Benua Keling yang kota itu.”


(Kassim Ahmad, 1997 : 385)


Selain petikan di atas, terdapat juga petikan yang lain yang membuktikan pengembaraan Hang Tuah dalam HHT ini.


“Sebermula Laksamana berjalan itu dari Majapahit turun ke Tuban itu, setelah datang ke Tuban, maka segala pegawai yang berserta Laksamana itu pun naiklah masing-masing pada perahunya. Maka Laksamana pun berkata pada Maharaja Setia, “ Hai saudaraku, adapun kita berlayar ini ingat-ingat, jangan bercerai perahu kita, kerana …


(Kassim Ahmad, 1997 : 425)


d) Unsur Mistik


Unsur mistik dalam cerita hikayat memang tidak dapat dipisahkan. Namun dalam HHT ini, unsur mistik sengaja ditonjolkan untuk menunjukkan lagi tentang kehebatan Hang Tuah sebagai perwira Melayu feudal suatu ketika dahulu. Menurut Abdul Rahman Napiah, pada bahagian akhir cerita, ketika Hang Tuah melalui hari-hari tuanya dengan menyembunyikan diri untuk beribadat, ada tanda-tanda dia memasuki alam mistik (1994: 6).


“…kata orang, Si Tuah tiada mati, kerana Si Tuah itu ia hulubalang segala laki-laki dan aulia pada segala laki-laki. Maka sekarang khabarnya Tun Tuah ada di pucuk hulu Sungai Perak, ia duduk menjadi raja segala biduandanya orang hutan.


(Kassim Ahmad, 1997 : 548)


Selain itu juga, unsur mistik turut dinyatakan oleh pengarang ketika Hang Tuah memujuk Tun Teja untuk mengikutnya ke Negeri Melaka. Hang Tuah telah menggunakan ubat guna-guna untuk membawa Tun Teja ke Negeri Melaka bersamanya“Setelah Tun Tuah beroleh jebat itu, maka Tun Tuah pun kembalilah ke rumahnya berbuat suatu guna pengasih namanya”.


(Kassim Ahmad, 1997: 217)


e) Percintaan Wira Melayu

Hang Tuah tidak terlibat dalam percintaan. Unsur pencintaan yang jelas hanya antara dirinya dengan Tun Teja (Mohd. Rashid bin Md.Idris et.al, 2013:67). Namun begitu, percintaan ini bukanlah cinta yang lahir dari hati, tetapi Hang Tuah telah menggunakan ubat guna-guna untuk menundukkan Tun Teja supaya Tun Teja suka kepada nya. Hal ini demikian kerana, Hang Tuah mahu pulang ke Melaka dan tidak mahu lagi hidup dalam buangan dan kebetulan pula sultan Melaka pada ketika itu sangat suka kepada Tun Teja.


“…Adapun jika demikian, baik aku bersuaka pada Bendahara Seri Buana ini, kerana Duli Yang Dipertuan dahulu sangat berahi akan anak Bendahara seri Buana ini yang bernama Tun Teja Menggala, maka malah keturunan gila Duli Yang Dipertuan akan Tun Teja ini. Jika demikian, baiklah Tun Teja ini kuperdayakan kubawa ke Melaka, kupersembahkan ke Duli Yang Dipertuan supaya aku segera ditegurnya


(Kassim Ahmad, 1997:193)


Berdasarkan teks diatas, tujuan utama Hang Tuah adalah mahu membawa Tun Teja balik ke Melaka supaya Sultan Melaka tidak murka kepada beliau lagi. Berikut pula petikan teks yang menyatakan Hang Tuah telah membuat ubat guna-guna kepada Tun Teja.


“…maka Tun Tuah pun kembalilah ke rumahnya berbuat suatu guna pengasih namanya. Setelah sudah diperbuat guna itu, maka pada malam itu juga Tun Tuah berjaga membaca pustakanya datang siang.


(Kassim Ahmad, 1997:217)


Setelah Hang Tuah membuat ubat pengasih tersebut, beliau telah menyuruh ibu angkatnya untuk memberikan ubat pengasih itu kepada Tun Teja. Di samping itu juga, setelah dipalit dengan ubat pengasih itu, Tun Teja mula jatuh hati kepada Hang Tuah.


“…Jika aku tiada bertemu dengan Tun Tuah itu, apalah hal aku yang demikian ini? Maka ia menangis terkenangkan mimpi itu; maka makin sangat berahinya tiada tertahani lagi rasanya


(Kassim Ahmad, 1997:219)





 
 
 

Comments


Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
  • Grey Facebook Icon
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Google+ Icon
bottom of page