top of page

TUGASAN INDIVIDU: KETOKOHAN PENGARANG KARYA AGUNG MELAYU

NAMA: NURUL MUNIRAH BINTI ISMAIL

NO. MATRIK : D20131063280


Karya Agung Melayu merupakan karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu yang dittulis atau diungkapkan atau dilisankan dalam pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain dalam bahasa Melayu tanpa mengambil kira kelompok bangsa atau etnik dalam Dunia Melayu.

Dalam dunia karya agung terdapat beberapa orang tokoh yang terkenal dalam dunia kesusaseraan Melayu melalui karya-karya, puisi, dan penulisan hikayat. Antara tokoh tersebut ialah Abdul Rauf Singkel dan Syamsuddin Al-Sumaterani yang masing-masing ada sumbangan dan peranan mereka terhadap bahasa dan peradaban Melayu.

Abdul Rauf Ibn Ali Al- Fansuri atau dalam dunia kesusasteraannya dikenali sebagai Abdul Rauf Singkel dilahirkan di Kabupaten Singkil, Barat-Selatan Aceh pada 1620 Masihi. Beliau turut dikenali sebagai Tok Sheikh di Kuala atau Syiyaah Kuala dan merupakan seorang penulis dan ulama yang mengajar di Aceh di Sekitar tahun 1661. Nama sebenar beliau adalah Aminuddin Al-Din Abdul Rauf Ibn Ali Al-Jawi Tsumal Fansuri As-Singkili. Ayahnya bernama Syed Ali Fansuri dan bersaudara dengan Syed Hamzah Fansuri berasal dari Parsi atau Arab yang datang menetap di Singkil, Aceh pada akhir abad ke-13 dan merupakan seorang guru dan mubaligh. Beliau meninggal dunia pada tahun 1693 semasa berusia 73 tahun dan dimakamkan di perkarangan masjid yang dibinanya di Kuala Acheh, desa Deyah Raya Kecamatan Kuala.

Selain itu, Abdul Rauf Singkel juga digelar Tengku Syiyaah Kuala. Sebagai mengenang jasa dan demi menghormati peribadi beliau, sebuah universiti di Bandar Acheh telah dinamakan sempena nama beliau, iaitu Universitas Syiah (Syiyaah) Kuala. Perkataan ‘Syiah’ disebut ‘Syiyaah atau ‘Syah’ merupakan seorang Syiekh di dalam dialek Acheh dan tiada kaitan langsung dengan fahaman Syi’ah.

Beliau menerima pendidikan awal di India belum melanjutkan pengajian di Makkah dengan Sheikh Abu Hafas Umar bin Abdullah Ba Shaiban. Selain itu, beliau turut menerima pendidikan di Madinah, Jeddah, Mokha, Zavid, Betalfakih, Aceh dan Palembang selama 19 tahun.. Antara pengajar yang telah dikenal pasti menjadi guru beliau ialah Abdul Kadirr Maurir di Mokha, Ahmad al- Qushashi di Madinah, dan Burhan al-Din Maula Ibrahim ibn Hassan al-Kurani.

Abdul Rauf Singkel mempunyai pengetahuan mencakupi ilmu-ilmu lahir dan tasawuf yang mempengaruhi sikap keilmuan beliau yang sangat menekankan perpaduan antara syariat dengan tasawuf. Walaubagaimana pun, telah berlaku konflik antara Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri menyebabkan Abdul Rauf Singkel mula memainkan peranan untuk menyelesaikan perselisihan tersebut, dan kemampuan beliau itu telah dimuatkan dalam karya-karya beliau yang ditulis dalam bahasa Melayu, iaitu Daqaiq al-Huruf atau dalam bahasa Arabnya ialah Tanbih al-Mashyi. Ilmu tasawuf beliau adalah gagasan pembaharuan yang dibawa oleh anak muridnya berjaya mengatasi tarikat tasawuf yang berunsur mistik yang dibawa oleh Hamzah Fansuri. Dalam penulisan beliau, langsung tidak ditemui nama-nama mereka yang terlibat dalam penulisan itu dengan jelas.

Syeikh Syamsuddin Bin Abdullah as-Sumaterani atau Syamsuddin al-Sumaterani dikenali sebagai seorang ulama, penulis dan ahli tasawuf di Indonesia. Beliau turut dikenali sebagai Syamsuddin dari Pasai. Beliau merupakan berketurunan ulama dan ayahnya bernama Abdullah Al-Sumaterani. Beliau berasal dari Pasai, Aceh yang hidup pada Kesultanan Aceh di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda atau disebut sebagai Mahkota Alam pada tahun 1607-1636 dan berdasarkan Kitab Bustanus Salatin karya Nuruddin Ar Raniri yang menyatakan bahawa beliau telah meninggal dunia pada 25 Februari 1630. Beliau merupakan pelajar kepada Hamzah Fansuri yang mempunyai ilmu wahdatul wujud atau wujudiyah yang menegaskan bahawa tidak ada yang wujud selain Allah.

Namun begitu, terdapat perbezaan antara kedua-duanya, iaitu Hamzah merupakan ulama tasawuf, sementara Syamsuddin pula seorang sufi filsafat. Beliau tidak begitu emosional dalam menyampaikan ilmunya tetapi beliau seorang yang bertindak secara rasional. Syamsuddin Al-Sumaterani merupakan seorang sufi yang mendapat gelaran tertinggi untuk ulama, Qadli (Imam atau Syeikh), penasihat raja, ketua imam, anggota kumpulan perundingan, dan jurubicara kerajaan Aceh Darussalam dan merupakan individu yang paling lama memegang peranan dalam istana. Beliau mula memegang peranan dalam istana pada abad-16 hingga akhir abad-17 kerana dikatakan telah disingkirkan dari istana oleh Nuruddin al-Raniri.

Syamsuddin begitu fasih dalam berbahasa Melayu, Jawa, Parsi, dan Arab. Beliau mengikuti jejak langkah gurunya, Hamzah Fansuri mengenai cara menyampaikan pemikiran beliau melalui syair. Antara syair beliau ialah Jauhari Haqa’iq yang bermaksud Permata Kebenaran yang menjelaskan tentang martabat tujuh yang merupakan ajaran tasawuf yang dikembangkan dari ajaran Hamzah Fansuri. Disebabkan wujud konflik antara Hamzah Fansuri dengan Nuruddin al-Raniri beberapa karya beliau dibakar kerana di tuduh menyampaikan ajaran sesat, antara karya beliau yang tersisa ialah Syarah Ruba’i Hamzah Fansuri (Tafsir Syai-Syair Hamzah Fansuri), Mir’at al-Haqiqat (Cermin Hakikat), Jawahir al-Haqaiq (Permata Kebenaran), Mir’at al-Mukminun (Cermin Orang Mukmin), Mir’at al-Iman atau Miratul Mukminin (Cermin bagi Orang-Orang yang Beriman), Syarah Mi’ratul Qulb (Uraian untuk Cermin bagi Hati), Kitab al-Martabat, Kitab al-Harakat (Kitab bagi Gerakan), Risalatul Baiyin Mulahaldlatil Muwahhidin Alal Mulhidi fi Zikrillah, dan Nurul Daqa’id (Cahaya yang Murni). Beberapa karya beliau yang ditemui ditulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu (Jawi).

Syamsuddin membawa fahaman Wahdat Al-Wujud dan telah mendapat beberapa golongan yang mengikuti fahaman beliau ini, iaitu golongan pembesar kerajaan Aceh dan rakyatnya. Penulisan beliau banyak menerima pengaruh dari Ibnu Arabi dan fahaman Martrabat Tujuh dari al-Burhanpuri. Fahaman ini telah masuk ke Kerajaan Aceh sebelum tahun 1030/1619 masihi dan ianya terbukti apabila adanya kitab Tuhfat al-Mursalah yang telah menjadi rujukan utama bagi ajaran ini dan ditulis siap oleh al-Burhanpuri. Isinya telah menjelaskan dengan ringkas tentang konsep tajalli dari ulama, iaitu Ibnu Arabi dan Al-Jilli dan telah diadaptasi oleh Syamsuddin dalam menjelaskan Martabat Tujuh.

Syamsuddin al-Sumaterani merupakan ulama yang terkenal pada zaman beliau kerana ajaran atau pemikiran tasawuf belaiu telah banyak mempengaruhi pemikiran Sultan Iskandar Muda yang pada masa itu merupakan raja Aceh. Ajaran tasawuf yang dibawa beliau diterima oleh masyarakat Aceh dan masyarakat Nusantara, dan telah tersebar hingga ke Jawa. Fahaman Wahdat al-Wujud telah dikaji oleh beberapa orang ulama hingga telah menimbulkan beberapa konflik dan beberapa perselisihan. Namun begitu, ajaran beliau ini telah membina haluannya yang tersendiri dalam perkembangan tasawuf di Nusantara.

Kesimpulannya, dalam Dunia Kesusasteraan ada tokoh yang bersinar dan namanya akan sentiasa meniti di bibir para sasterawan dan mereka telah menyumbang kepada kemajuan penulisan puisi yang dibawa oleh agama Islam ke Tanah Melayu ini hingga hari ini. Keunggulan mereka teserlah apabila karya yang ditulis dan ditinggalkan menjadi rujukan kepada masyarakat masa kini tentang kehidupan masyarakat pada zaman dahulu. Ketokohan mereka perlu ditunjukkan kepada generasi muda sekarang agar sumbangan dan perananmereka dalam bahasa dan peradaban Melayu akan sentiasa hidup selamanya.





RUJUKAN

Harun Mat Piah, 2002. Tradisional Malay Literature. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah, dan Mohd Rashid Md. Idris, 2016. Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.





RABIATULADAWIYAH BT ABD MAJID

D20131063285


Konsep Karya Agung

Menurut Seri Lanang Jaya Haji Rohani, Abd. Rahman Napiah, Mohd. Rashid Md. Idris dan Naffi Mat (2013), karya agung ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan sesuatu bangsa.

Manakala karya agung melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikiran bangsa melayu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera.

Karya agung melayu pula merujuk kepada karya agung di kawasan dunia melayu yang terdapat bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa melayu-polinesia yang lain.


Latar Belakang Abdullah Munsyi Dan Raja Ali Haji


Nama sebenar ialah Abdullah bin Abdul Kadir. Beliau dilahirkan pada tahun Masihi 1796 di Kampung Masjid atau juga dikenali sebagai Kampung Pali namun sekarang dikenali sebagai kampung masjid. Beliau dibesarkan oleh ayahnya Sheikh Abdul Kadir, seorang yang alim dan berketurunan Arab-India.

Abdullah munsyi mendapat pendidikan yang sempurna dan ketika berusia 11 tahun, Abdullah sudah mendapat wang dengan menulis teks Al-Quran. Dua tahun kemudian, Abdullah mengajar agama Islam kepada askar-askar pasukan India yang berkhidmat di Kota Melaka. Minatnya membaca manuskrip Melayu mendorongnya untuk mendalami bidang itu. Beliau lebih cepat pandai menulis dan membaca malah pandai dalam mengaji al- quran berbanding dengan kanak-kanak lain. Disebabkan kepandaian yang dimiliki tersebut, beliau dijadikan sebagai khalifah di tempat mengaji. Gelaran “Munsyi” yang membawa makna “guru” itu diperoleh sewaktu dia berusia sebelas tahun sewaktu mengajar bahasa Melayu kepada askar- askar Kerajaan Inggeris berbangsa India di Melaka.

Selain itu, semasa hayatnya, Abdullah menjadi guru bahasa dan penterjemah yang mahir Bahasa Arab, Tamil, Hindustani, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Abdullah Munsyi digelar “Bapa Kesusasteraan Melayu Moden” berdasarkan hasil karya pentingnya. Beliau telah berjaya menghasilkan karya yang hebat hasil daripada pengamatan dan pemerhatiannya semasa pengembaraan. Abdullah meninggal dunia pada tahun 1854 di Juddah sewaktu ingin menunaikan haji.


Manakala Raja Ali Haji bin Raja Ahmad atau kadangkala dikenali sebagai Engku Haji Tua. Beliau berketurunan daeng bugis dan dibesarkan dalam kalangan bangsawan. Beliau berasal daripada keluarga bangsawan dan juga keluarga penyair. Bapanya, Raja Ahmad ialah pengarang Syair Ungku Puteri. Raja Ali Haji dilahirkan di Pulau Penyengat, Riau pada tahun 1809.

Seawal usia 19 tahun lagi, beliau telah pergi menunaikan fardu haji ke Makkah. Di kesempatan itulah, beliau telah menimba ilmu pengetahuan daripada ulama-ulama yang terkenal di tanah suci Makkah.

Setelah pulang ke Riau, beliau menjadi penasihat Yamtuan Muda Riau dalam bidang agama dan undang-undang. Beliau memiliki pengetahuan yang tinggi dalam bahasa Melayu dan Arab serta alim dalam hal ehwal agama Islam. Beliau turut terkenal sebagai ahli tawarikh dan politik semasa hidupnya.

Berdasarkan Tuhfat al-Naffis, dapat diketahui serba sedikit latar belakang keluarga dan kehidupan beliau. Raja Ali Haji mempunyai beberapa orang anak murid. Antaranya ialah Yang Dipertuan Muda Riau sendiri dan Syed Syeikh al-Hadi dari Melaka (bapa novel Melayu). Beliau meninggal dunia pada tahun 1870.


Sumbangan Dan Peranan Abdullah Munsyi Dan Raja Ali Haji

Abdullah Munsyi mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang penulisan. Pengkaji sejarah berpendapat bahawa pemisahan antara Sastera Melayu Lama dengan Sastera Melayu iaitu setelah munculnya karya-karya Abdullah Munsyi yang membawa unsur-unsur baru dalam Sastera Melayu. Kejayaan Abdullah dalam bidang penulisan banyak didorong oleh faktor persekitaran seperti kehidupan keluarga, keadaan sosio-politik selain bakat semulajadi yang dimilikinya.

Abdullah Munsyi telah menghasilkan banyak karya yang bermutu seperti Syair Singapura Terbakar (1830), Dawaiy- Kulub (1838), Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan (1938), Kitab Adat Segala Raja-Raja Melayu dalam Segala Negeri (1838), Hikayat Abdullah bin Abdul Kadir (1849) dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Juddah (1854). Beliau juga menghasilkan karya terjemahan Hikayat Pancatanderan dan menyunting Sejarah Melayu. Karya-karya beliau ada yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa asing.

Karya-karya yang telah dihasilkan oleh beliau membawa unsur-unsur pembaharuan dalam sastera Melayu. Dua buah karya agungnya iaitu Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan merupakan cerminan kepada situasi yang berlaku dalam masyarakat iaitu perkara yang benar-benar terjadi dan tidak memasukkan unsur khayalan. Hikayat Abdullah yang berbentuk autobiografi memuatkan pengalaman hidupnya bersama orang-orang Inggeris dan mengandungi kritikan terhadap orang Melayu, raja-raja Melayu dan undang-undang Timur yang sebelumnya tidak pernah disentuh oleh golongan penulis.

Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan pula dapat dianggap sebagai dokumentasi sejarah yang ditulis berdasarkan pemerhatian semasa. Beliau telah mengupas aspek politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan masyarakat Melayu di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Beliau juga menjadi penterjemah bahasa melayu dalam dua era penjajahan iaitu semasa penjajahan belanda di Melaka dan semasa pemerintahan inggeris di singapura.

Manakala bagi sumbanan dan peranan Raja Ali Haji pula ialah beliau muncul sebagai tokoh bahasa, kesusasteraan, sejarah, politik dan juga tokoh agama yang ulung pada zamannya. Sumbangan beliau terhadap persuratan Melayu amat penting. Daya kreativitinya dan kepekaannya terhadap permasalahan yang berlaku di sekelilingnya menjadikan beliau begitu masyhur. Beliau turut menghasilkan karya-karya berteraskan Islam seperti Gurindam Dua Belas, Syair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai dan Syair Sinar Gemala Mustika Alam. Dalam bidang sejarah pula, beliau menghasilkan dua buah kitab sastera sejarah yang penting terutamanya bagi keturunan raja-raja Bugis iaitu Tuhfat al-Nafis dan Salasilah Melayu Bugis dan Sekalian Raja-rajanya. Sebagai tokoh bahasa, beliau menghasilkan pula Bustanul Katibin dan Kitab Pengetahuan Bahasa.

Dalam bidang bahasa, beliaulah yang diketahui orang pertama yang menulis tentang tatabahasa bahasa Melayu dalam Bustanul Katibin dan cuba menyusun sebuah kamus Melayu melalui Kitab Pengetahuan Bahasa. C. Hooykaas dan Winstedt bersependapat menyatakan bahawa sesudah sejarah Melayu, Tuhfatul Nafis dipandang sebagai sumber terpenting dalam pensejarahan Melayu. Dalam bidang sejarah, beliau berusaha membuat catatan sejarah yang lengkap tentang keturunan Raja-raja Melayu dan Bugis dalam bentuk penulisan kreatif yang terakam dalam Tuhfatul Nafis dan Salasilah Melayu Bugis dan Sekalian Raja-rajanya.


Walaupun terdapat pembaharuan-pembaharuan dalam hasil karangan beliau, Raja Ali Haji tetap dianggap pengarang klasik. Raja Ali Haji dapat menghargai nilai-nilai peradaban Barat, namun demikian beliau menganggap nilai-nilai Barat tidak sesuai dengan masyarakat Melayu. Pujangga ulung ini tetap berdiri teguh dalam lingkungan kebudayaan Melayu dan dengan keras mempertahankan nilai-nilainya.

Bukunya yang berjudul Kitab Pengetahuan Bahasa merupakan kamus loghat Melayu Johor-Pahang-Riau-Lingga penggalan pertama serta kamus ekabahasa yang pertama di Nusantara. Raja Ali Haji juga patut dijasai kerana Penulisan sejarah Melayu melalui bukunya yang berjudul Tuhfat al-Nafis dianggap sebagai suatu penggambaran peristiwa-peristiwa Melayu bersejarah yang lengkap.

Kesimpulannya, dapat kita rumuskan bahawa kedua-dua tokoh ini sangat banyak memberi sumbangan kepada perkembangan bahasa dan peradaban melayu. Abdullah Munsyi bukanlah berbangsa melayu tetapi adalah seorang peranakan india muslim namun begitu beliau mampu menghasilkan pelbagai karya agung malah mampu menjadi penterjemah bahasa melayu kepada orang barat kerana beliau sangat mengagungkan bahasa melayu berbanding orang melayu sendiri. Manakala Raja Ali Haji pula turut mengangkat bahasa melayu namun unsur islam tetap dimasukkan dalam setiap karya beliau yang menunjukkan kecintaan beliau terhadap kedua-dua bidang ini iaitu bidang bahasa dan agama. Kedua-dua tokoh ini dilihat sangat mencintai bahasa dan ilmu pengetahuan disamping banyak menyebarkan ilmu mereka melalui karya-karya yang dihasilkan. Oleh sebab itu walaupun kedua tokoh ini telah meninggal dunia namun karya-karya mereka masih dianggap karya agung dan dijadikan bahan rujukan sehingga kini.



Rujukan

Arba’iyah Mohd Noor & Mohd Hanafi Ibrahim (2011). Raja Ali Haji Pemikir Ulung Alam Melayu Abad Ke-19. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.


Seri Lanang Jaya Hj. Rohani, Abd. Rahman Napiah, Mohd. Rashid Md. Idris & Naffi Mat (2013). Penghayatan Karya Agung Melayu. Tanjong Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Seri Lanang Jaya Haji Rohani, Abd. Rahman Napiah & Mohd Rashid Md Idris (2016). Karya Agung Melayu. Tanjong Malim : Universiti Pendidikan Sultan Idris.




Kamal Aripin Bin Pauzi

D 20121058053


1.0 Pengenalan


Menurut Hassan Ahmad 2005 karya agung melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan indentitinya yang tersendiri.Misalnya tamadun Greek,Cina,Mesir dan bngsa-bangsa lain dikenali melalui karya seni,pemikiran ,falsafah,sastera dan dicetuskan oleh pemikir ,seniman dan sasterawan zaman dahulu kala yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman pelu dijadikan petua dan dikekalkan oleh keturunan berikutnya sehingga hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.(70)

Karya agung melayu pula ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu.(56)

Karya agung dunia Melayu dimaksudkan kepada karya agung di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. Terdapat banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan sebagai karya agung, antaranyaNagara kertagama atau Serat Centhini yang ditulis dalam bahasa Jawa, atau I la Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis. Karya-karya yang seperti ini jika sesuai dengan takrif Yayasan, boleh diterima sebagai Karya Agung Dunia Melayu dan bolehlah dimasukkan ke dalam rancangan Yayasaan untuk dikaji, diperkenalkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu melalui terjemahan.(87)


2.0 Biodata Tun Seri Lanang dan Hamzah Fansuri


Nama sebenarnya ialah Tun Muhamad bin Tun Ahmad. Dilahirkan di Johor. Beliau ialah keturunan Bendahara Melaka dan Johor. Hidup pada akhir abad ke-17. anak kepada Paduka Temenggung Ahmad. Oleh sebab itu, beliau mempunyai pengetahuan yang luas dalam sejarah pertuanan Melaka dan Johor. Kebolehan itu mendorong beliau mengarang. Beliau menjadi Bendahara Johor pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalil (1570-1579). Tun Sri Lanang pernah membantu Raja Abdullah memerintah Johor setelah Sultan Alauddin Riayat Syah tidak berminat memerintah. Raja Abdullah telah meminta beliau yang bergelar Bendahara Paduka Raja mengarang buku Sejarah Melayu pada tahun 1612. Pada tahun 1613, beliau telah dibawa ke Acheh apabila Johor dikalahkan oleh Acheh. Beliau menemui Syeikh Nurudin al-Raniri dan mengajar bahasa Melayu kepada Syeikh itu. Di Acheh juga beliau menyambung penulisan bukunya, ‘Buku Melayu’. Hal ini ada tersebut dalam buku ‘Bustan al-Salatin’ karya Syeikh Nuruddin al-Raniri fasal 12 bab 11.(150)

Manakala Syeikh Hamzah Fansuri ialah seorang cendekiawan, ulama tasawuf, sasterawan dan budayawan terkemuka yang hidup di antara tahun 1589 hingga 1650. Nama gelaran yang tercantum di belakang namanya menunjukkan tempat asal beliau, iaitu Fansur. Dalam kalangan orang Arab, Fansur merupakan gelaran kepada sebuah tempat yang bernama Barus, iaitu sebuah kota kecil di pantai barat Sumatera yang terletak antara kota Sibolga dan Singkel. Menurut para ulama, penyebutan nama kota kelahiran di belakang namanya adalah merupakan sesuatu yang lazim bagi menunjukkan identiti dirinya. Contohnya al-Ghazali, al-Baghdadi, al-Bisthami, al-Jawi, al-Makassari, dan juga al-Palembani. Selain berfungsi sebagai pelabuhan, Barus atau Fansur juga menjadi pusat pendidikan Islam yang melahirkan ramai ulama terkenal. Ibu bapa Hamzah meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Suasana dan keadaan ini mendorong beliau untuk memencilkan diri dan mengembara dari sebuah negeri ke negeri yang lain. Pengembaraannya ke serata negeri bukan sekadar mencari ilmu dan pengalaman hidup, malah berusaha untuk mencari bukti kewujudan Tuhan. Beliau mengembara ke seluruh pelosok dunia seperti Jawa, Tanah Melayu, India, Parsi dan Tanah-tanah Arab. (167)


3.0 peranan dan sumbangan Tun Seri Lanang dan Hamzah Fansuri dalam perkembangan bahasa dan peradaban Melayu


Tun Seri Lanang telah mengarang dan menyusun Sulalatus Salatin pada tahun 1612, iaitu atas perintah Raja Abdullah Maayah Shah berdasarkan naskah Sejarah Melayu. Tun Seri Lanang bertindak memperbaiki naskah tersebut dan menyusun semula Sulalatus Salatin. Pelbagai perubahan dan penambahan dilakukan beliau sehingga lengkap Sulalatus Salatin menggambarkan sejarah orang Melayu dan pemerintahan Melayu terutama pada zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka.Tun Seri Lanang berusaha untuk mengangkat dan martabat kedudukan raja-raja Melaka pada ketika itu. Beliau merakamkan kebesaran, ketinggian dan kegemilangan sesebuah negara dan raja-raja Melayu sejak zaman Raja Iskandar pada abad ke-15 sehinggalah ke era pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah pada abad ke-17. Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ini telah menjadi perhatian dan rujukan sastera bagi orang Melayu sejak zaman berzaman. Tun Seri lanang juga memberikan gambaran tentang adat istiadat istana dan masyarakat Melayu purba di Melaka seperti pantang larang di istana, adat memakai pakaian kuning, adat menyambut bulan Ramadhan dan lain-lain. Terdapat beberapa adat antaranya adalah adat yang sebenar-benar adat iaitu adat yang betul-betul berteraskan islam itu sendiri, tetapi sebelum kedatangan islam banyak dipengaruhi oleh hindu dan budha, namun apabila islam telah timbul, maka apa yang bertentangan dengan islam diketepikan. Masyarakat Melayu begitu kaya dengan budaya dan budi bahasanya. Hal ini digambarkan oleh Tun Seri Lanang di dalam Sejarah Melayu. Adat Istiadat diraja juga dikarang oleh Tun Seri Lanang bagi memperlihatkan kedaulatan Raja-Raja Melayu .Oleh hal yang demikian, Sejarah kebudayaan masyarakat Melayu turut dipaparkan di dalam Sejarah Melayu bagi tatapan masyarakat dewasa ini.(258)

Dalam bidang bahasa, Syeikh Hamzah Fansuri telah berjaya memartabatkan bahasa Melayu daripada lingua franca kepada bahasa intelektual dan bahasa ilmu. Kedudukan bahasa Melayu dalam bidang penyebaran ilmu dan persuratan menjadi sangat penting dan mengungguli bahasa-bahasa Nusantara yang lain, termasuk bahasa Jawa yang sebelumnya telah jauh lebih berkembang. Syeikh Hamzah Fansuri telah berjaya dalam proses Islamisasi bahasa Melayu. Islamisasi bahasa adalah sama dengan Islamisasi pemikiran dan kebudayaan. Buktinya, dalam 32 bait-bait syairnya sahaja terdapat lebih kurang 700 kata pinjaman daripada bahasa Arab. Hal ini bukan sahaja memperkaya perbendaharaan kata bahasa Melayu, tetapi dengan demikian juga mengintegrasikan konsep-konsep Islam dalam kehidupan ke dalam sistem bahasa dan budaya Melayu. Syeikh Hamzah Fansuri bukan sahaja seorang ahli sufi dan penyair terkemuka, bahkan juga seorang perintis dan pelopor dalam perkembangan kebudayaan Islam. Sumbangannya boleh dilihat dalam bidang kerohanian, keilmuan, falsafah, bahasa dan sastera. Beliau dikatakan seorang intelektual yang berani pada zamannya kerana kritikannya yang tajam. Beliau mengkritik perilaku politik dan moral raja-raja, golongan bangsawan dan orang-orang kaya pada ketika itu.Dalam bidang keilmuan, beliau mempelopori penulisan risalah tasawuf atau keagamaan yang bersifat ilmiah. Sebelum karya-karyanya muncul, masyarakat Islam ketika itu mempelajari ilmu-ilmu agama, tasawuf dan sastera melalui kitab-kitab yang ditulis dalam bahasa Arab.(197)


4.0 Kesimpulan

Demikianlah perbincangan mengenai sudut latar belakang dan peranan dan sumbangan mereka dalam perkembangan bahasa dan peradaban Melayu yang telah membawa mereka digelar sebagai pengarang yang agung.Sumbangan Tun Seri Lanang yang terbesar ialah telah menulis dan menghasilkan sebuah karya yang menjadi rujukan dan peringatan buat bangsa Melayu begitu juga sumbangan Hamzah Fansuri yang memancarkan kegemilangan bahasa Melayu di tempat yang tinggi dan unggul.(64)



Rujukan

Ding Choo Ming (2003). Kajian Manuskrip Melayu: Masalah, Kritikan dan Cadangan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Dsitributors Sdn. Bhd.


Harun Jaafar (2002). Wacana Kesusasteraan Melayu Klasik. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Sultan Idris.


Ismail Yusoff (2008). Kesusasteraan Melayu Lama Dan Baru. Kedah: Universiti Utara Malaysia.


Mohamad Daud Mohamad (1987). Tokoh-Tokoh Sastera Melayu Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.




FARAH NURANIS BINTI MAZLAN

D20131063261


PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, karya bermaksud buatan atau ciptaan sesuatu. Manakala agung bermaksud paling besar, terutama, tertinggi, teristimewa dan terkemuka. Karya Agung diertikan sebagai ciptaan atau buatan yang terutama, tertinggi dan teristimewa daripada seseorang pengarang. Karya Agung Melayu merupakan karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu pada zaman dahulu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa melalui bentuk-bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga mampu meninggalkan kesan dari aspek seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam kehidupan Melayu (Seri Lanang Jaya Haji Rohani, Abd Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md.Idris, 2016).


BIODATA RAJA ALI HAJI

Raja Ali Haji merupakan tokoh penting dalam dunia Melayu. Pengaruh pemikirannya terhadap dalam perkembangan dunia Melayu sangat ketara melalui pelbagai karya sastera dan lain-lain yang dijadikan rujukan dalam tradisi penulisan klasik mahupun moden. Raja Ali Haji atau nama lengkapnya Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad. Beliau dilahirkan pada tahun 1808 M di Pusat Kesultanan Riau-Lingga di Pulau Penyengat. Kini Pulau Penyengat termasuk dalam wilayah Kepulauan Riau, Indonesia. Pada ketika itu, Pulau Penyengat merupakan sebuah pulau kecil di Riau yang menjadi pusat kebudayaan Melayu dan pusat ilmu pengetahuan Islam di Kepulauan Melayu. Sebagai putera daripada golongan bangsawan Riau, beliau pernah menjawat pelbagai jawatan penting dalam kerajaan Riau-Johor.

Raja Ali Haji merupakan putera Raja Ahmad yang ke Mekkah digelar sebagai Engku Haji Tua, cucu kepada Raja Haji Fisabilillah. Raja Ali Haji sebenarnya berasal daripada keturunan Bugis. Garis keturunan ini berasal daripada neneknya yang berasal dari tanah Bugis, namun kemudian menetap di Riau dan mendapat jawatan sebagai Yang Dipertuan Agung, iaitu pembantu sultan dalam urusan pemerintahan. Ayahnya adalah orang pertama yang mengajari pendidikan dasar. Raja Ali Haji mendapatkan pendidikan dari lingkungan istana Kesultanan Riau-Lingga di Pulau Penyengat. Raja Ali Haji juga mendapatkan pendidikan dari luar lingkungan kesultanan. Ketika ia beserta rombongan ayahnya pergi ke Betawi pada tahun 1822.

PERANAN DAN SUMBANGAN DALAM PERKEMBANGAN BAHASA DAN PERADABAN MELAYU

Raja Ali Haji muncul sebagai tokoh bahasa, kesusasteraan, sejarah, politik dan juga tokoh agama yang ulung pada zamannya (Mohd Sharifudin Yusop dan Mohd Lani Sobi, 1999). Raja Ali Haji banyak memberi sumbangan dalam bidang bahasa dan peradaban Melayu. Raja Ali Haji dikenali sebagai orang pertama yang menulis tentang tatabahasa bahasa Melayu dalam Bustanul al-Katibin. Beliau juga menyusun sebuah kamus Melayu melalui Kitab Pengetahuan Bahasa. Menurut Wan Samsuddin Mohd Yusof (1976), mengenai bukunya Tuhfatul Nafis, C. Hooykaas dan Winstedt berpendapat bahawa sesudah Sejarah Melayu, Tuhfatul Nafis dipandang sebagai sumber terpenting dalam pensejarahan Melayu. Sumbangan Raja Ali Haji juga adalah menghasilkan Kitab Pengetahuan Bahasa yang tebalnya kira-kira 550 halaman disusun pada 1858 dan dicetak di Singapura pada tahun 1929. Karya ini merupakan sebuah kamus, tetapi tidak seperti kamus zaman sekarang. Buku ini merupakan sejenis ensiklopedia yang mengandungi pengetahuan umum, pendapat dan pandangan pengarangnya tentang perkataan. Beliau juga menghasilkan karya-karya berteraskan Islam seperti Gurindam Dua Belas, Syair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai dan Syair Sinar Gemala Mustika Alam. Beliau juga berusaha membuat catatan sejarah yang lengkap tentang keturunan Raja-raja Melayu dan Bugis dalam bentuk penulisan kreatif yang terakam dalam Tuhfatul Nafis dan Salasilah Melayu Bugis dan Sekalian Raja-rajanya.


BIODATA HAMZAH FANSURI

Syeikh Hamzah al-Fansuri atau Hamzah Fansuri merupakan seorang cendikiawan, ulama tasawuf, sastrawan, dan budayawan tersohor. Hamzah al-Fansuri dilahirkan di Barus atau Fansur pada pertengahan abad ke-16 hingga awal abad ke-17. Fansur merupakan sebuah kampung yang terletak di antara Kota Singkel dengan Gosong Telaga (Aceh Selatan). Ayah Syeikh Hamzah al-Fansuri bernama Syeikh Ismail Aceh pernah menjadi gabenor di Kota Sri Banoi. Ibu bapa Hamzah telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil. Suasana dan keadaan ini mendorong beliau hidup terpencil dan berdagang atau mengembara dari sebuah negeri ke sebuah negeri.

Hamzah al-Fansuri sangat mahir dalam ilmu-ilmu fikah, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah, sastera dan lain-lain. Dalam bidang bahasa pula, beliau menguasai dengan kemas seluruh sektor ilmu Arabiyah dan fasih dalam pengucapan bahasa tersebut. Beliau juga berkebolehan dalam pelbagai bahasa lain seperti bahasa Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa ibundanya. Bahasa Melayu yang digunakannya itu sudah memperlihatkan bentuk seperti yang digunakan sekarang. Menurut Muhammad Naguib al-Attas, Hamzah Fansuri meninggal pada tahun 1607, sedangkan L.F Brakel menyebutkan bahawa Hamzah Fansuri masih sempat hidup hingga tahun 1620.


PERANAN DAN SUMBANGAN DALAM PERKEMBANGAN BAHASA DAN PERADABAN MELAYU

Hamzah Fansuri telah banyak memberi sumbangan dalam bidang ilmu sosial, sastera, bahasa dan penghasilan karya prosa dan puisi. Sumbangan beliau dalam bidang bahasa ialah Hamzah Fansuri telah Berjaya memartabatkan bahasa Melayu daripada lingua franca kepada bahasa intelektual dan bahasa ilmu. Kedudukan bahasa Melayu dalam penyebaran ilmu dan ersuratan menjadi sangat penting dan mengatasi bahasa-bahasa Nusantara yang lain, termasuk bahasa jawa yang sebelimnya telah jauh lebih berkembang. Hamzah Fansuri juga telah Berjaya dalam proses Islamisasi pemikiran dan kebudayaan, buktinya Dallam 32 bait-bait syairnya mengandungi lebih kurang 700 kata pinjaman bahasa Arab. Keadaan ini telah memperkaya perbendaharaan kata bahasa Melayu dan mengintegrasikan konsep-konsep Islam dalam kehidupan ke dalam system bahasa dan budaya Melayu.

Hamzah Fansuri juga banyak menumbangkan ilmunya dengan menghasilkan karya berbentuk prosa. Contohnya, Syarab al-Asyikin dan Asrar al-Arifin fi bayan ilmu al-Suluk wal Tauhid. Kitab Syarab al-Asyikin merupakan kitab tasawuf yang pertama ditulis dalam bahasa Melayu yang membicarakan tentang syariat, hakikat, tarekat, makrifat dan zat tuhan. Hamzah Fansuri juga merupakan seorang penyair yang tajam penanya. Syair hasil gerapannya mempunyai kias dan perlambangan yang menjadi panduan manusia. Puisi yang dihasilkannya adalah Syair Burung Pungguk, Syair Dagang, Syair Perahu, Syair Burung Pinggai dan Sayir Sidang Fakir.

Kesimpulannya, Hamzah Fansuri merupakan tokoh yang banyak menyumbang kepada perkembangan bahasa dan sastera, iaitu dalam bidang prosa dan puisi. Falsafah ketuhanan yang dipaparkan bukan sahaja mampu memantapkan mengenai hal ehwal Islam, tetapi turut memberi penjelasan melalui kitab-kitab yang diterjemah dalam bahasa Melayu.



RUMUSAN

Secara kesimpulan, terdapat ramai tokoh dalam menghasilkan Karya Agung Melayu. Antaranya ialah Raja Ali Haji dan Hamzah Fansuri. Kedua-dua tokoh ini merupakan orang yang terpenting dalam alam Melayu dan seluruh Nusantara. Mereka banyak memberi sumbangan dalam perkembangan bahasa dan peradaban Melayu.

sumbangan yang dihasilkan oleh mereka banyak membantu masyarakat pada zaman dahulu sehingga zaman sekarang dalam perkembangan bahasa. Puisi-puisi yang dihasilkan oleh mereka dapat memberi pengetahuan dan rujukan kepada masyarakat. Sumbangan yang diberikan oleh mereka juga membantu perkembangan bahasa dan meningkatkan taraf bahasa Melayu.



Rujukan


Arbai’yah Mohd Noor & Mohd Hanafi Ibrahim (2011). Raja Ali Haji Pemikir Ulung Alam Melayu abad ke-19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Seri Lanang Jaya Rohani, Abd. Rahman Napiah & Mohd Rashid Md Idris (2016). Karya Agung

Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.





Arfaneen Yala

D20131064919



Tun seri lanang

Tun Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tun Seri Lanang telah dilahirkan dalam tahun 1565M di Seluyut, Johor Lama. Di Johor Lama beliau telah dilantik sebagai bendahara kepada dua sultan iaitu Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II tahun 1570M hingga 1597M dan Sultan Alauddin Shah III tahun 1597M hingga 1612M. Pada Mei 1612M, Tun Seri Lanang telah menerima titah raja Abdullah atau Yang dipertuan di Hilir untuk mengarang Sulalatus Salatin iaitu semasa Raja Abdullah bersemayam di Pasir Raja atau dikenali Pekan Tua. Semenjak tahun 1613M, Sultan Aceh Darusssalam yang terkenal iaitu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636M) telah membuat serangan ke atas banyak negeri-negeri Melayu termasuk Johor Lama, Pahang Lama, Perak dan kerajaan-kerajaan lainnya, dibuat sebagai strategi Sultan Iskandar Muda untuk menghambat pengaruh dan kuasa Portugis dari kepulauan Melayu serta meluaskan kepentingan kerajaannya yang besar.


Antara peristiwa yang telah berlaku ialah peristiwa Perang Batu Sawar yang melibatkan serangan tentera Aceh ke atas ibukota Kesultanan Johor Lama. Selesai berperang, Sultan Johor iaitu Sultan Alauddin, Raja Abdullah, Bendahara Tun Seri Lanang, panglima serta orang-orang besar Johor telah ditawan dan dibawa balik ke negeri Aceh. Sultan Johor kemudiannya telah pulang ke Johor sementara Tun Seri Lanang terus tinggal di Aceh sehingga masa kemangkatannya. Pada 1613M sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah melantik Tun Seri Lanang sebagai Uleebalang Kenegerian Samalanga, yang bersifat pemerintah otonomi dalam sebuah jajahan Kesultanan Aceh. Di samping itu, beliau telah dilantik sebagai penasihat kepada tiga sultan Aceh iaitu Sultan Iskandar Muda (1607-1636M), Sultan Iskandar Thani (1636-1641M), dan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah (1641-1675M). Di Acheh, Tun Seri Lanang turut digelar Orang Kaya Dato’ Bendahara Seri Paduka Tun Seberang.


Pada 1659M, Tun Seri Lanang telah meninggal dunia di Samalanga, Aceh dan zuriatnya berterusan menjadi pemeritah otonomi di sana manakala sebahagian zuriatnya kembali ke Johor lalu ditakdirkan menjadi Raja-raja Melayu khususnya di Pahang, Terengganu dan Johor Moden sehingga ke hari ini. Makam Tun Seri Lanang telah dipugar dan dijaga oleh pihak berkuasa di Samalanga dan sentiasa dikunjungi oleh peminat dan pengkaji sejarah, khususnya dari Malaysia dan Indonesia.



Peranan dan Sumbangan Tun Seri Lanang

Peranan Tun Seri Lanang semasa hayatnya ialah beliau telah menjadi bendahara kepada dua Sultan kerajaan Johor Lama. Pada 1570M hingga 1597M, beliau telah menjadi bendahara di bawah pemerintahan Sultan Ali Jalil Shah II manakala pada 1597M hingga 1615M, beliau telah menjadi bendahara di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah III.

Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang merupakan tokoh pengarang dan pujangga yang terkenal dalam penghasilan buku sejarah mahupun panduan adat istiadat dalam peradaban, kebudayaan serta sistem pemerintahan Melayu. Dalam kepengarangannya, beliau, masyarakat terdedah dengan ilmu-ilmu yang mampu mendidik masyarakat memiliki jati diri yang tinggi. Beliau telah bertanggungjawab dengan mengembangkan agama islam di Semenanjung Melayu hingga ke tanah seberang ketika diberi kepercayaan memerintah Samalanga, Aceh, Indonesia pada tahun 1645M. Penyebaran agama Islam telah berlaku dengan luas dalam tempoh pemerintahan beliau di Aceh.

Selepas peristiwa Perang Batu Sawar antara tentera Aceh dengan Kesultanan Johor Lama, Sultan Johor iaitu Sultan Alauddin, Raja Abdullah, Bendahara Tun Seri Lanang, panglima serta orang-orang besar telah ditawan dan dibawa ke Aceh. Selepas ditawan, Sultan Johor pulang ke Johor, manakala Tun Seri Lanang menetap di Aceh dan telah dilantik oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam sebagai Uleebalang Kenegerian Samalangga. Semasa pemerintahan beliau sebagai seorang Uleebalang yang digelar Paduka Raja Samalangga, beliau bersifat pemerintah autonomi dalam sebuah jajahan Kesultanan Aceh dan disenangi oleh Kesultanan Aceh.

Semasa Tun Seri Lanang menetap di Aceh, beliau telah mendapat tempat di hati Sultan Aceh. Buktinya, beliau telah dilantik sebagai penasihat kepada tiga orang Sultan Aceh iaitu Sultan Iskandar Muda (1607-1636M), Sultan Iskandar Thani (1636-1641M), dan Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah (1641-1675M). Semasa di Acheh, Tun Seri Lanang turut digelar Orang Kaya Dato’ Bendahara Seri Paduka Tun Seberang.

Pada Mei 1612M, Tun Seri Lanang telah menerima titah Raja Abdullah supaya mengarang Sulalatus Salatin. Selepas menerima titah daripada Raja Abdullah, Tun Seri Lanang memulakan penulisan kitab Sulalatus Salatin di Batu Sawar, Kesultanan Johor Lama dalam tahun 1612M. Penulisan kitab Sulalatus Salatin dikarang disebabkan beberapa faktor. Antara faktor penghasilan kitab sulalatus Salatin ialah untuk mengangkat kedudukan dan sejarah silam raja-raja Melaka di samping mengagungkan kebesaran dan kecemerlangan raja-raja dan kerajaan Melaka. Selain itu, Sulalatus Salatin turut dihasilkan dengan tujuan menggambarkan kebesaran sebuah dinasti raja-raja Melayu yang bermula dari zaman Raja Iskandar Syah di awal abad ke-15 hinggalah zaman pemerintahan sultan Alau’d-Din Riayat Syah III di awal abad ke-17. Seterusnya, Sulalatus Salatin juga dihasilkan untuk kegunaan istana(istana centri) dan kegunaan orang-orang bangsawan Melayu sebagai rujukan pada masa akan datang serta dijadikan satu wadah bagi merakamkan kebesaran, ketinggian dan kegemilangan sesebuah negara kota atau kerajaan Melayu seperti kerajaan Pasai dan Singapura selain Melaka. Di samping itu juga, penghasilannya adalah untuk memperlihatkan kepada bangsa lain akan kebesaran bangsa Melayu sendiri.



Raja Ali Haji

Nama lengkap PAH adalah Raja Ali al-Hajj ibni Raja Haji bin Opu Daeng Celak alisas Engku Haji Ali ibni Engku Haji Ahmad Riau. Ia dilahirkan pada tahun 1808 M di pusat kesultanan Riau-Lingga di Pulau Penyekat (kini masuk dalam wilayah Kepulauan Riau,Indonesia).

Sekilas tentang pulau penyengat dalam buku –buku belanda, pulau kecil disebut mars. Menurut masyarakat setempat, nama pujian-pujian dari pulau ini adalah indera sakti. Di pulau ini banyak terlahir karya –karya satera dan budaya melayu yang ditulis oleh tokoh-tokoh melayu sepanjang abad ke-19 dan dua dasawarsa abad ke-20, di mana RAH termasuk di dalamnya.

Catatan tentang hari dan bulan kelahiran RAH berbeza dengan ayahnya. Begitu rinci, yaitu pada hari kamis waktu ‘Ashar bulan Rajab tahun 1193 H di istana yang Dipertuan Muda Riau-Raja Haji Ibni Daeng Celak. Sedangkan catatan mengenai RAH jusru singkat sekali. Bahkan, catatan kelahiran RAH lebih banyak didasarkan pada perkiraan saja. Menurut Hasan Junus (2002: 62), masa yang berbeza, keadaan yang berbeza, mengantar pada semangat zaman yang berbeza. Semangat zaman yang berkembang pada menyebabkan orang-orang memanggil nama RAH dengan sebutan ‘Raja’

Peranan

Raja ali haji juga terdidik dengan ilmu bidanglain, dan telah menghasilkan karya dalam pelbagai bidang, iaitu agama, bahasa, sastera, sejarah, dan undang-undang beliau turut menjadi guru agama yang mengajar tatabahasa, fikah, dan tasawuf. Dalam bidang bahasa, Raja Ali Haji telah menghasilkan dua buah karya yang amat penting dalam perkembangan bahasa Melayu.iaitu Kitab Bustanul-Katibin (1857) dan Kitab Pengetahuan Bahasa (1859). Buku tatabahasa bahasa Melayu, yang berjudul Bustanul-Katibina Lis Sbyanil-Mutaalamin diterjemahkan (secara harfiah) kedalam bahasa Melayu sebagai Kitab Perkebunan Jurutulis bagi Kanak-kanak yang Hendak Menuntut Belajar Akan Dia, dan merupakan buku pelajaran ejaan dan tatabahasa. Naskhah Bustanul- Katibin ini telah dihasilkan dalam bentuk cap batupada 20 Syaaban 1273H (15 April 1857) di Pulau Penyengat. Buku setebal 70 halaman ini, terdiri daripada “mukadimah” (pendahuluan).






Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page