Falsafah Novel Ranjau Sepanjang Jalan
Novel Ranjau Sepanjang Jalan merupakan hasil karya oleh Shahnon Ahmad. Novel ini mengisahkan tentang kesusahan dan kemiskinan keluarga petani. Isi kemiskinan ini sudah sebati dalam diri Shahnon Ahmad menyebabkan beliau mampu menerangkan sesebuah kisah dalam Ranjau Sepanjang Jalan dengan teliti. Para pembaca mampu merasai dan menghayati setiap perkara yang berlaku dalam keluarga petani dalam novel ini. Novel ini juga mengetengahkan dan mendalami erti kasih sayang, kekuatan, kegigihan, ketabahan dan perjuangan dalam sekelompok masyarakat tani di desa.
Penceritaan dalam karya moden Ranjau Sepanjang Jalan mempunyai ilmu falsafah yang tersendiri yang ingin ditonjolkan oleh penulis Shahnon Ahmad. Antara falsafah yang ingin ditonjolkan dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah falsafah etika. Etika ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Falsafah etika yang ditunjukkan dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan adalah pengajaran tentang berpegang kuat pada ajaran agama Islam. Ajaran Islam merupakan ajaran yang berlandaskan dalam Al-Quran. Sehubungan dengan itu, dalam novel ini terdapat satu pandangan yang menunjukkan watak-watak dalam novel ini yang berpegang kuat pada ajaran agama Islam. Sebagai contoh, Lahuma sentiasa menunjukkan sifat patuhnya kepada pencipta dengan cara menunaikan solat secara berjemaah dan berdoa bersama-sama dengan isterinya. Sifat Lahuma ini dapat dilihat dalam ayat berikut:
“Malam merangkak dari senja ke maghrib dan terus masuk waktu isyak. Lahuma sedang bertimpuh di atas tikar mengkuang sambil kedua-dua belah tangannya tercantum menadah langit. Jeha yang berada di belakangnya dalam keadaan serba putih bertimpuh dengan kemas sekali. Mukanya ditutup rapat dengan kedua-dua belah tapak tangan. Maing-masing bermohon doa kepada Allah S.W.T.”
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 14)
Sekiranya pembaca memang menghayati karya ini, kemiskinan yang digambarkan boleh menyebabkan keluarga Lahuma ini lemah semangat untuk meneruskan hidup namun keluarga ini tetap tabah dan berpegang kepada agama. Melalui contoh diatas, dapat disimpulkan bahawa falsafah yang ingin ditonjolkan oleh penulis adalah falsafah pegangan agama oleh watak dalam novel ini amat kuat walaupun kehidupan mereka diuji.
Falsafah seterusnya yang ingin ditonjolkan oleh penulis dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan ialah falsafah nilai murni dan pendidikan. Dalam novel ini, antara nilai murni yang ditemui adalah sifat kegigihan. Kegigihan yang diamalkan dalam pegangan hidup masyarakat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan menyebabkan mereka berusaha sedaya upaya untuk melawan perkara-perkara yang menjadi halangan tanaman padi mereka untuk tumbuh dengan subur. Contohnya, penduduk Kampung Banggul Derdap berhabis-habisan melawan serangan ketam, burung tiak dan banjir yang menghancurkan tanaman mereka. Sekiranya mereka membiarkan sahaja tanaman mereka, pasti mereka akan kebuluran tanpa makanan. Situasi ini dapat dibuktikan dalam petikan di bawah:
“Hidup kaum tani, fikir Jeha, akan hidup di tengah-tengah lumpur. Akan berkubang macam kerbau. Akan berjemur panas macam tanah tandus. Akan basah macam terendam di tengah-tengah banjir besar. Mereka akan memungut ketam dan membunuh binatang bedebah itu. Mereka harus belajar membunuh. Membunuh setiap benda yang akan menghalang pada mereka. Burung tiak yang akan datang berjuta-juta dan berlaksa-laksa. Jeha terasa lapang dadanya bila teringat Lahuma yang akan disambungkan perjuanngannya hingga ke anak cucu cicit. Lahuma yang banyak memberi tenaga kepada seluruh keluarga.”
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 120)
Berdasarkan contoh diatas, falsafah yang ingin ditonjolkan oleh penulis adalah penduduk kampung tetap berusaha sedaya upaya mencari jalan bagi memastikan kehidupan mereka tidak mendapat kesusahan walaupun cabaran hidup menimpa mereka.
Disamping itu, penulis juga mengemukakan falsafah sosial dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan. Falsafah sosial merupakan gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Antara contoh falsafah sosial yang ditunjukkan oleh penulis dalam novel ini adalah sifat kasih sayang masyarakat terhadap keluarga masing-masing. Masyarakat dalam novel ini mengamalkan budaya kasih sayang dalam dua aspek, iaitu kasih sayang seorang isteri terhadap suami dan kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya. Dalam konteks ini, watak utama yang merupakan pasangan suami isteri dalam novel ini menunjukkan kasih sayang yang utuh antara satu sama lain. Sebagai contoh, setelah kaki Lahuma menjadi semakin parah akibat tercucuk dek duri nibung, Jeha tetap setia di sisi suaminya. Jeha sanggup mencuci luka dan nanah yang berbau busuk dan hanyir pada kaki suaminya demi rasa kasih dan cintanya pada si suami. Walaupun Jeha sedar tuntutan untuk mengerjakan bendang masih belum selesai, tetapi dia tetap menjaga suaminya dengan sebaik mungkin. Berikut adalah contoh yang menunjukkan kasih sayang Jeha terhadap suaminya, Lahuma:
“Petang itu, Jeha tidak turun ke sawah. Kaki suaminya dicelur dan dituam lagi. Ubat ramuan dicari dan ditambah. Beberapa kali kain panas diusap-usap ke atas kaki yang bengkak itu. Lahuma terbaring saja sepanjang petang itu. Jeha menghembus-hembuskan kaki itu. Akhirnya, Lahuma terlena. Jeha menghembus lagi perlahan-lahan hingga kelopak mata Lahuma benar-benar terkatup. Kaki bengkak yang tersidai di atas ribanya itu perlahan-lahan diangkat dan diletak pula ke atas bantal lasam. Dengan hati-hati dia meninggalkan suaminya.”
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 125)
Berdasarkan contoh diatas, dapat dirumuskan bahawa pegangan hidup yang ingin ditonjolkan oleh penulis adalah kasih sayang yang dipegang dalam kehidupan watak dalam novel ini amat utuh terhadap keluarganya walaupun mereka diduga. Kasih sayang mereka tidak terjejas dengan kesusahan yang dialami oleh mereka.
Falsafah ekonomi juga turut diselitkan oleh penulis dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan. Ekonomi merupakan sistem pendapatan dan pengurusan harta benda. Dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, penulis menyelitkan unsur falsafah ekonomi, iaitu berkaitan dengan kemiskinan dengan penderitaan atau kesusahan. Berdasarkan novel Ranjau Sepanjang Jalan, kehidupan masyarakat petani digambarkan sebagai golongan yang miskin. Mereka hanya bergantung kepada kepada hasil tanaman padi semata-mata bagi menyara kehidupan mereka. Oleh itu, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk melawan perkara-perkara yang menjadi halangan kepada tanaman mereka untuk tumbuh subur. Misalnya, penduduk Kampung Banggul Derdap berhabis-habisan melawan serangan ketam, burung tiak dan juga banjir yang melanda tanaman mereka. Sekiranya mereka membiarkannya, mereka akan kebuluran tanpa makanan. Hal ini kerana padi adalah sumber rezeki mereka. Contohnya:
“Hidup kaum tani, fikir Jeha, akan hidup di tengah-tengah lumpur. Akan berkubang macam kerbau. Akan berjemur panas macam tanah tandus. Akan basah macam terendam di tengah-tengah banjir besar. Mereka akan memungut ketam dan membunuh binatang bedebah itu. Mereka harus belajar membunuh. Membunuh setiap benda yang akan menghalang pada mereka. Burung tiak yang akan datang berjuta-juta dan berlaksa-laksa. Jeha terasa lapang dadanya bila teringat Lahuma yang akan disambungkan perjuanngannya hingga ke anak cucu cicit. Lahuma yang banyak memberi tenaga kepada seluruh keluarga.”
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 120)
Berdasarkan contoh diatas, dapat disimpulkan bahawa pegangan hidup yang ingin ditunjukkan oleh penulis dalam novel ini adalah kemiskinan dan kesusahan masyarakat untuk meneruskan kehidupan mereka seandainya hasil tanaman mereka dimusnahkan oleh serangan ketam, burung tiak dan juga banjir yang melanda tanaman mereka.
Falsafah kosmologi juga diselitkan dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan. Kosmologi bererti membincangkan situasi persekitaran dan alam sarwajagat. Situasi persekitaran yang dimaksudkan adalah situasi yang berlaku dalam sesebuah novel, sama ada masalah atau konflik yang terjadi dalam sesuatu cerita. Misalnya, falsafah kosmologi yang terdapat dalam novel ini adalah masalah yang dihadapi oleh petani ketika bencana alam. Pelbagai masalah yang dihadapi oleh semua petani ketika musim menanam padi bermula. Dari bendang dibajak sehingga padi telah masak dan tiba musim menuai akan tiba pelbagai masalah. Antara masalah yang dihadapi oleh penduduk adalah seperti kemarau dan banjir, serangan binatang seperti burung tiak, ular berbisa, ketam-ketam dan tikus. Berdasarkan novel ini, pada permulaan menceritakan mengenai Jeha yang hampir dipatuk ular tedung berbisa. Lahuma telah membunuh ular tersebut dan Jeha telah mengalami trauma selama beberapa bulan. Banjir juga telah melanda dan menyebabkan anak padi mereka musnah dan menghanyutkan sampah sarap ke dalam bendang.
Petani juga telah berhujan panas untuk menjaga padi mereka sehingga masak dan ketika padi mula menguning burung tiak pula menghampiri untuk memakan padi yang masak. Burung yang datang bukan beratus tetapi beribu-ribu sehingga petani perlu menjaga bendang dari pagi sehingga lewat petang. Petani perlu memikirkan pelbagai cara untuk memusnahkan perosak ini agar hasil tanam mereka menjadi dan mereka mampu menyara keluarga masing-masing. Petikan dibawah adalah ketika Jeha serta Sanah dan adik-adiknya sedaya upaya untuk membunuh beratus ribu ketam yang datang untuk mematahkan anak padi yang baru ditanam,
“Pungut! Pungut! Pungut!” jerit Jeha sambil membongkok-bongkok di celah baris semai yang baru ditanam itu.
Dua, tiga ekor sekali cekak. Sesetengahnya dipijak hingga terbenam lemas dalam lumpur. Yang setengahnya diramas begitu saja. Kadang-kadang apabila tiba pada puak-puak yang banyak bertumpang tindih, dikuak-kuak saja masuk ke bakul.
Kawah diletak di atas tungku. Api dinyalakan. Dan Jeha menuangkan isi bakul itu ke dalam kawah berisi air. Ketam itu bergerak-gerak apabila bertempur dengan air. Apabila air mula panas, ketam-ketam itu mula bergerak cepat. Apabila buih-buih air panas itu terkuak, ketam-ketam itu mulai tenggelam dan berbalik-balik badan. Kepanasan air sudah mula terasa sedikit-sedikit kulit belakang ketam mulai merah.”
(Ranjau Sepanjang Jalan:196-197)
Falsafah terakhir yang terdapat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan adalah bidang falsafah logik. Logik merupakan pemikiran yang rasional, taakulan dan sebab musabab. Pemikiran logik yang terdapat dalam novel ini adalah watak yang terdapat dalam novel ini percaya pada qadak dan qadar. Kepercayaan ini sememangnya logik dan rasional terhadap orang-orang Islam. Percaya pada qadak dan qadar membawa maksud percaya pada ketentuan Allah S.W.T. Sebagai hamba, manusia perlu redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan kepadanya. Novel Ranjau Sepanjang Jalan memperlihatkan pandangan hidup yang dimiliki oleh masyarakatnya yang percaya pada qadak dan qadar yang ditetapkan oleh Allah. Hal ini jelas sekali dapat dilihat dalam diri Lahuma dan juga Jeha. Contohnya adalah seperti di bawah ini :
“Lahuma dan Jeha cukup percaya bahawa mereka juga akan mempunyai pegangan yang sama. Mati hidup dan susah senang dipegang oleh Allah S.W.T. Kini, pegangan itu telah banyak memberi ketenangan hidup kepada mereka sekeluarga.”
(Ranjau Sepanjang Jalan, m/s 2)
Berdasarkan contoh di atas, sifat redha dengan ketentuan qadak dan qadar dapat dilihat dalam diri Lahuma dan Jeha kerana mereka percaya bahawa ajal maut serta rezeki kesemuanya ditentukan oleh Allah S.W.T. Mereka tidak pernah kesal dengan kekurangan yang mereka alami walaupun sekali. Mereka hanya redha dengan ketentuan-Nya agar hidup lebih tenang dan harmoni. Kepercayaan ini sememangnya terkandung dalam bidang falsafah logik. Sememangnya kepercayaan kepada qadak dan qadar merupakan sesuatu pemikiran yang rasional yang ingin diketengahkan oleh penulis.