top of page

Nilai Ilmu Ranjau Sepanjang Jalan


NILAI ILMU

Nilai ilmu bermaksud kualiti, darjat, mutu, darjat dan kiraan yang mengukur tahap pengetahuan seseorang terhadap sesuatu hal. Penilaian ini adalah untuk memastikan bahawa pengamalan atau pengetahuan terhadap sesuatu hal itu ditentukan sama ada dikuasai sepenuhnya ataupun tidak. Oleh itu, nilai ilmu ini dapat diringkaskan sebagai pengetahuan yang mempunyai nilai dan berguna kepada pembaca. Terdapat beberapa nilai ilmu yang boleh ditemui di dalam karya-karya moden masa kini seperti ilmu agama, ilmu pertukangan, ilmu alam dan sebagainya.


NILAI ILMU DALAM RANJAU SEPANJANG JALAN.

Di dalam karya Shahnon Ahmad yang bertajuk Ranjau Sepanjang Jalan yang menceritakan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh penduduk di sebuah kampung demi sesuap nasi. Antaranya:


Ilmu Bercucuk Tanam

Karya Shahnon Ahmad pada kali ini berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat petani. Kisah yang dipaparkan di dalam novel ini menceritakan tentang kehidupan keluarga Lahuma yang menjadikan pekerjaan bertanam padi sebagai sumber utama rezeki mereka sekeluarga. Kepayahan hidup dan kesungguhan masyarakat petani di kampung Banggul Derdap, Sik, Kedah yang memberi gambaran betapa perit dan susahnya menyelamatkan sebutir padi daripada menjadi mangsa burung Tiak, ketam dan bencana alam. Pengarang turut menyelitkan cara petani menanam padi di dalam novel ini. Contohnya:

“Lahuma meneruskan kerjanya mengasah parang. Esok belukar itu akan ditebas. Esoklah akan bermulanya hari dia menanam padi. Selepas menebas, tanah itu akan digembur dan dirata. Padi akan ditabur. Dan sebelum menunggu semai itu cukup usianya, Lahuma anak-beranak akan turun ke sawah. Rumput dan menerung tebal terpaksa ditajak hingga tercabut perdu-perdu dan akar-akarnya.”

(Ranjau Sepanjang Jalan, Halaman 11)


Berdasarkan petikan yang dipetik dari novel di atas, dapat dilihat pengkarya menerangkan langkah demi langkah untuk menanam padi. Pengkarya menggambarkan watak Lahuma yang melakukan persediaan tersebut dengan bantuan anak-beranaknya yang lain. Langkahnya bermula dari menyediakan peralatan, petani perlu menebas tapak untuk menanam padi sebelum kerja merata dan menggembur tanah. Selesai itu, benih padi akan disemai dan sementara menunggu semaian itu cukup untuk dipindahkan, petani perlu menajak rumput dan menerung yang menguasai tapak untuk menanam padi.


Ilmu Agama

Fokus utama dalam novel ini adalah watak Lahuma yang hidupnya sekeluarga yang dihimpit kemiskinan. Jika dapat diperhatikan dengan betul, dapat dikesan bahawa kemiskinan ini yang telah menyebabkan keluarga Lahuma ini hidup dengan perasaan lemah semangat untuk meneruskan kehidupan mereka, namun kerana pegangan terhadap agama yang kuat memberi mereka semangat untuk tabahkan hati meneruskan kehidupan. Kemiskinan adalah keadaan yang kesusahan untuk memiliki atau memperolehi sesuatu mereka ingini. Kemiskinan juga merupakan keadaan kekurangan terhadap perkara-perkara yang biasanya diperlukan seseorang seperti makanan, minuman, tempat tinggal, dan pakaian kerana keperluan ini sangat berkait rapat dengan kualiti manusi. Agama Islam merupakan agama yang dianut oleh keluarga Lahuma dan mereka begitu patuh dan taat kepada agama ini. Sebagai contoh, Lahuma begitu redha dengan takdir dan ketentuan yang diberikan Tuhan kepada dia dan keluarganya. Selain itu, Lahuma juga tidak berputus asa dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Contonhya dapat dilihat pada petikan di bawah:


“Aku tak akan menganiaya segala insane dan makhluk-Mu. Aku tak akan membunuh segala bencana yang tak mengganggu perjuanganku dan seluruh keluargaku,” Rintih Lahuma dalam doanya.

(Ranjau Sepanjang Jalan, Halaman 25)


Selain Lahuma yang taat kepada agama, pengkarya turut menggambarkan bahawa isteri Lahuma turut mentaati agama Islam. Isterinya yang juga redha dengan dugaan yang menimpa mereka, contohnya:


“Namun tekad hati Jeha tidak juga luput. Bahaya di tangan ALLAH. Mati hidup Lahuma di tangan ALLAH. ALLAH boleh memelihara Lahuma. ALLAH boleh mengambil Lahuma.”

(Ranjau Sepanjang Jalan, Halaman 51-52)



Ilmu Perdagangan

Walaupun karya Shanon ini berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat petani, pengkarya juga menggambarkan bahawa penduduk ini bukan sahaja melibatkan diri dalam pertanian tetapi juga melibatkan diri dalam perniagaan. Sebagai contoh, situasi di mana Lahuma yang ingin menjual batang pinang kepada tauke-tauke Cina bagi mendapatkan sedikit wang sesudah habis musim mengetam. Contohnya dapat dilihat di dalam petikan di bawah:


“Dia cuba menebang batang pinang di belukar untuk dijual kepada tauke-tauke Cina yang membawa batang pinang itu ke laut untuk dibuat pancang pukat.”

(Ranjau Sepanjang Jalan, Halaman 10)


Ilmu Menangkap Ikan

Sinonim dengan latar belakang kehidupan di kampung, perngkarya juga tidak terlepas dalam menyelitkan ilmu menangkap ikan yang ada pada penduduk-penduduk kampung itu. Dalam novel ini, Lahuma akan menangkap ikan apabila ada waktu terluang khususnya selepas habis musim mengetam padi. Kewujudan istilah-istilah yang berkaitan dengan cara untuk menangkap ikan menunjukkan bahawa ilmu ini sememangnya ada dalam novel ini. Contohnya:


“Cuma sekali-sekala Lahuma membuat bubu dan nada untuk menangkap ikan.”

(Ranjau Sepanjang Jalan, Halaman 10)


Dapat dilihat dalam petikan di atas wujudnya perkakas seperti bubu dan nada yang merupakan perkakas untuk menangkap ikan. Perkakas ini adalah cara tradisional yang digunakan oleh masyarakat kampung untuk menangkap ikan.


Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page