NILAI ILMU
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1081), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Nilai juga diistilahkan sebagai ‘al-qimah’ dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kkepada harga yang ditetapkan atau diletakka pada sesuatu. Nilai dikatakan bersifat aksiologi yang berhubung kait dengan falsafah nilai. Nilai yang membolehkan manusia melakukan penilaia sama ada sesuatu itu adalah baik atau pun buruk.
Masyarakat Melayu dikenali sebagai masyarakat yang sopan santun dan berbudi bahasa. Oleh sebab itu, mereka tidak terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat supaya seseorang yang mengamalkan nilai ini akan dapat menjadi sebahagian daripada masyarakat. Nilai-nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan, dan keindahan ini begitu sinonim dengan agama Islam yang sangat berpengaruh dalam masyarakat Melayu di seluruh nusantara.
Nilai ini dapat dipupuk melalui dua acara, iaitu secara formal dan tidak formal. Secara formal adalah melalui pendidikan formal seperti di sekolah, asrama sekolah, kolej dan di institusi-institusi pendidikan lain. Manakala, tidak formal ialah di mana seseorang itu diajar dengan cara tidak formal. Pengajarannya adalah sejak dari kecil dan guru mereka adalah ibu bapa, keluarga, rakan dan masyaralat sekeliling. Mereka menerima ilmu nilai ini berdasarkan apa yang lihat dan amalkan sejak dari kecil.
Manakala ilmu pula bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Ilmu ini disampaikan untuk menyalurkan maklumat dalam pelbagai bentuk yang berfungsi sebagai menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan perkara yang mengandungi kemusykilan dan sebagainya. Syed Naquib Al-Attas dalam Mohd. Nor Wan Daud (87: 2005) menyatakan bahawa ilmu adalah sebagai ketibaan makna dalam diri seseorang yang menyebabkan berlaku perubahan berdasarkan ilmu yang diperoleh.
Kamus Besar Bahasa Indonesia (1988) telah menghuraikan definisi ilmu dengan dua pengertian, iaitu ilmu didefinikan sebagai suatu pengetahuan tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem melalui kaedah-kaedah tertentu. Selain itu, ilmu juga dimaksudkan sebagai pengetahuan atau kepandaian terhadapa keduniaan, akhirat, zahir, batin dan sebagainya. Antara ilmu yang wujud ialah ilmu akhirat, ilmu akhlak, ilmu batin, ilmu sihir, ilmu firasat dan sebagainya.
Nilai Ilmu Dalam Hikayat Hang Tuah
Karya agung adalah himpunan karya secara tradisi dan menjadi asas kepada sesuatu tamadun bangsa. Karya agung merupakan suatu karya klasik yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, pemikiran, pandangan, falsafah, gaya hidup serta budaya dan social yang berkekalan dalam ingatan sesuatu bangsa. Hikayat Hang Tuah adalah salah sebuah karya agung yang menjadi khazanah budaya dan ilmu Melayu hingga kini.
Abdul Halim Bandan (1994: 1) menyatakan bahawa Hikayat Hang Tuah adalah hasil karya sastera Melayu lama yang memiliki nilai estetik yang tersendiri. Pengarang hikayat ini telah menggarap watak Hang Tuah secara simbolik dan bertepatan dengan perasaan dan ciri-ciri social yang wujud pada zaman itu. Menurut Abdul Halim Bandan lagi, perwatakan Hang Tuah digambarkan begitu agung dan mempunyai kuasa luar biasa yang dapat menentang musuh untuk membela bangsa. Karya ini banyak menyentuh perkara yang berkaitan dengan nilai-nilai kemasyarakatan, nilai moral, nilai ilmu dan lain-lain. nilai yang diterbitkan kebanyakannya mencerminkan budaya Melayu, cara hidup dan pemikiran masyarakat pada zaman dahulu.
Jenis-Jenis Ilmu dalam Hikayat Hang Tuah
Terdapat pelbagai jenis ilmu di dalam karya agung Melayu, iaitu ilmu firasat, ilmu jampi, ilmu perdukunan, ilmu pengasih, dan sebagainya.
Ilmu Firasat
Ilmu firasat menurut Kamus Dewan (2010) adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang dengan tilikan atau ramalan ahli nujum. Sulastin Sutrisno menyatakan bahawa orang yang mempunyai ilmu firasat ini dapat merasai, melihat atau mengetahui terlebih dahulu sesuatu benda yang akan terjadi. Dengan hanya mengenal nama, haru atau ketika, seseorang yang berilmu itu dapat mengetahui kelemahan dan kekuatan orang lain. turut dikatakan bahawa seseorang yang mempelajari ilmu ini akan dapat membaca fikiran orang lain. Seri Lanang Jaya et. Al (2014: 159) telah membahagikan ilmu firasat kepada tiga, iaitu firasat tilik nasib, firasat mimpi, dan firasat terhadap binatang.
Di dalam Hikayat Hang Tuah, terdapat beberapa peristiwa yang berkaitan dengan ilmu firasat. Antara yang ditemui di dalam hikayat ini adalah :
Peristiwa mimpi yang telah dialami oleh Hang Mahmud. Hang Mahmud telah bermimpi tentang bulan yang turun dari langit dan cahaya bulan tersebut telah mengenai Hang Tuah. Melalui peristiwa tersebut, Hang Mahmud berpendapat bahawa sesuatu akan berlaku kepada Hang Tuah. Dengan itu, beliau telah berpesan kepada isterinya iaitu Dang Merdu agar sentiasa menjaga Hang Tuah. Hang Mahmud juga berfikir bahawa Hang Tuah patut diberikan ajaran yang sempurna. Namun, disebabkan keadaan di Kampung Sungai Duyung tidak mempunyai tempat pengajian yang sesuai untuk Hang Tuah, maka Hang Mahmud berpendapat mereka haruslah berpindah ke Bentan. Di Bentan, Hang Tuah telah diserahkan kepada seorang lebai untuk diajarkan mengaji al-Quran.
“Maka pada malam itu Hang Mahmud bermimpi bulan turun dari langit; maka cahayanya penuh di atas kepala Hang Tuah. Hang Mahmud pun terkejut lalu bangun daripada tidurr, lalu diriba anaknya Hang Tuah dan diangkatnya, maka diciumnya seluruh tubuh. Setelah sudah, hari pun sianglah, maka segala mimpinya itu semuanya dikatakannya pada anknya dan isterinya. Didengar oleh ibu Hang Tuah kata suaminya itu, maka segera dilangirinya dan dimandikan anaknya itu.”
(Hikayat Hang Tuah: 23)
Peristiwa penubuhan Kota Melaka. Pada ketika Tuanku Syah Alam sedang berehat di bawah sepohon pokok, Hang Tuah telah mengkhabarkan kepada Tuanku Syah Alam bahawa anjing pemburuannya yang telah dikalahkan oleh seekor pelanduk putih. Mendengar perkhabaran yang telah dibawa oleh Hang Tuah, Tuanku Syah Alam merasa tertarik dan bertanya kepada salah seorang pembesar tentang peristiwa tersebut. Pembesar itu memberikan pandangan bahawa, menurut cerita yang disampaikan oleh orang tua-tua, jika terdapat seekor pelanduk putih, maka tempat itu amat sesuai untuk dibuka sebuah negeri. Maka Tuanku Syah Alam mula berfirasat, jika dibuka sebuah negeri di situ, negeri tersebut akan maju dan kuat.
“… Maka Hang Jebat pun melepaskan anjing. Maka Rangga Raya dan Kibu Nirang itu pun masuklah ke dalam hutan itu mencari bau. Maka Kibu Nirang dan Rangga Raya pun bertemu seekor pelanduk putih seperti kambing besarnya. Maka Hang Tuah, Hang Jebat pun segera berlari-lari mendapatkan anjing itu. Maka dilihatnya seekor pelanduk putih, seperti kambing besarnya, berhadapan dengan anjingnya. Maka oleh pelanduk itu digigitnya akan anjing kedua itu. Maka ajing itu pun berteriak keduanya lalu terjun ke dalam sungai itu. Maka pelanduk itu pun mengusir anjing keduanya. Maka Hang Tuah, Hang Jebat dengan segala orangnya pun berlari-lari mengikut anjing dan pelanduk itu. Maka Hang Tuah dan hang Jebat pun hairan.
Hatta maka pelanduk putih pun ghaiblah. Maka raja dan Ratu Melayu pun datang mengikut Hang Tuah, Hang Jeba. Maka oleh Hang Tuah dan Hang Jebat segala kelakuan pelanduk putih dan anjing itu semuanya habis dipersembahkan oleh Hang Tuah dan Hang Jebat itu. Maka baginda kedua pun hairanlah menengar sembah Hang Tuah dan Hang Jeba itu demikian. Maka titah baginda , “Hai mamak bendahara, hali segala menteri yang tua-tua, adakah pernah melihat pelanduk putih seekor, seperti kambing besarnya, menerajangkan anjing ke dalam sungai? Apa Gerang padahnya?” maka sembah Bendahara Paduka Raja dan segala menteri yang tua-tua itu. “Ya Tuanku Syah Alam, ada patik dengar kata orang tua-tua patik, jika ada pelanduk putih pada hutan atau barang tempat sekalipun, baiklah tempat, patut diperbuat negeri; berdaulat negeri, tuanku.””.
(Hikayat Hang Tuah: 64)
Ilmu Perdukunan
Menurut Kamus Dewan (2010), dukun ialah orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampong atau tradisional dengan membaca jampi serapah dan sebagainya. Nama penggilan bagi pengamal ilmu ini ialah bomoh dan pawang. Manakal perdukunan pula bermaksud yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampong atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun.
Perdukunan adalah penterjemahan dari kata al kahaanah daripada Bahasa Arab. Ilmu ini mengadungi tiga unsur, iaitu disebut sebagai kaahin (si pendukun), mutakaahin (peminta atau pesakit yang berjumpa dukun) danmahkummn (kepada siapa dukun itu ditujukan). Terdapat beberapa istilah untuk orang yang mengamalkan ilmu perdukunan ini, iaitu ‘arraf, rammal, munajjim atau ahli nujum, sahir atau tukang sihir dan lain-lain. al Baghawi mengatakan bahawa al-kahin adalah seseorang yang akan mengkhabarkan sesuatu yang akan terjadi pada masa yang akan datang. Namun begitu, ada juga yang mengatakan bahawa al-kahin merupakan individu yang memberitahu apa yang tersirat di dalam hati seseorang. ‘Arraf pula dikatakan oleh Al-Baghawi sebagai orang yang mengaku mengetahui perkara-perkara tertentu melalui cara yang tertentu dan mengetahui kedudukan barang yang hilang atau diambil orang.
Rammal merupakan kata akar bahasa Arab, iaitu raml yang dimaksudkan sebagai [asir yang lembut. Rammal adalah seorang tukang ramal yang akan menggariskan sesuatu di pasir untuk mengetahui sesuatu perkara yang diminta oleh orang yang datang untuk meminta pertolongan dengannya. Dalam masyarakat Arab, ilmu ini dikenali sebagai ilmu raml. Manakala Munajjim atau ahli nujum ini sudah pasti sinonim dengan masyarakat Melayu. Nujum membawa maksud bintang-bintang. Mereka meramal nasib seseorang menggunakan cara yang tertentu.
Pada awalnya, masyarakat Melayu mengamalkan kepercayaan animisme, iaitu mempercayai benda-benda sekeliling mereka mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Dengan itu, maka wujudlah upacara-upacara penyembahan kepada baatu-batu, sungai-sungia, pokok-pokok, gunung-gunung dan fenomena lain yang melibatkan pembacaan jampi yang perlu dibaca oleh dukun untuk menyeru semangat atau kuasa ghaib ini dan penyeruan ini tidak boleh dilakukan oleh orang sebarangan. Perbuatan ini dilakukan untuk mengembalikan keadaan seperti asalnya.
Ilmu ini dapat dilihat dalam Hikaya Hang Tuah:
“... syahadan maka paduka ayahanda bonda pun terlalu amat kasih akan anakanda baginda itu. Hatta berapa lamanya maka Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam pun besarlah, makin besar makin bertambah baik rupanya. Hatta berapa raja-raja hendak meminang dia, tiada juga diberinya oleh ayahanda bonda baginda, kerana segala raja-raja yang meminang itu tiada sama dengan bangsa baginda itu, kerana baginda itu raja keinderaan. Maka baginda pun bertitah kepada perdana menteri suruh memanggil segala ahlul nujum dan segala sasterawan. Maka segala ahlul nujum dan segala sasterawan pun datang menyembah. Maka titah baginda kepada ahlul nujum dan sasterawan, “Lihatlah dalam nujummu sekalian, betapakah untung bahagiannnya anakku ini.
Maka segala ahlul nujum dan sasterawan pun melihat yang di dalam nujum. Setelah sudah dilihatnya, maka masing-masing pun menggerakkan kepalanya. Maka titah baginda, “Apa sebab maka kamu sekalian menggerakkan kepalamu?” Maka sembah segala ahlul nujum dan saseterawan itu, “Ya Tuanku Syah Alam, patik mohonkan ampun beribu-ribu ampun dan kurnia ke bawah Duli Syah Alam; adapun patik anakanda ini terlalu amat bahagia beroleh suami anak raja besar, dan anak cucu paduka anakanda inilah akan jadi raja datang kepada akhir zaman, akan menjadi raja besar. Maka duli tuanku pun hendaklah peduka anak-anak ini ditaruhkan pada suatu pulau yang bernama Biram Dewa itu dengan suatu mahligai dan dayang-dayang. Disanalah paduka anakanda bersuami raja besar itu.”
(Hikayat Hang Tuah : 4)
Berdasarkan petika di atas, hikayat ini menceritakn perihal Tuanku Syah Alam yang menggunakan khidmat ahli nujum untuk menilik nasib anak gadisnya, Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam. Melalui tilikan itu, mereka mendapati bahawa nasib anak gadis itu akan memeperoleh keuntungan pada masa akan datang melalui perkahwinannya dengan anak raja besar, justeru untuk memperolehi keuntungan itu, ahli nujum mencadangkan supaya Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggam segera dinikahkan dan diletakkan di sebuah pulau yang bernama Biram Dewa dengan sebuah istana bersama dayang-dayang.
Ilmu Jampi
Menurut Kamus Dewan (2010), jampi membawa makna kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian seperti menyembuhkan penyakit. Jampi dikenali sebagai mantera. Orang Melayu sangat dekat dengan dunia spiritual. Hal ini demikian kerana Islam yang menajdi agama rasmi orang Melayu, agama Hindu dan Buddha pernah mendapat tempat dalam mempengaruhi kepercayaan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu. Jika dilihat kembali dalam sejarah, kebanyakan aktiviti yang dilakukan melibatkan jampi.
“Maka Tun Tuah pun bermohonlah lalu pulang ke rumahnya. Maka Tun Tuah pun mandi dan berlangir. Maka Tun Tuah pun duduklah membuka pustakanya. Setelah sudah dilihatnya dalam pustakanya, maka Tun Tuah pun tersenyum, seraya dikucupinya pustakanya itu….”
(Hikayat Hang Tuah : 2016)
Hang Tuah mempunyai ‘pustaka’ atau kitab tentang ilmu pengasih. Kitab inilah yang dirujuk beliau sebelum mencari bahan bagi menghasilkan ubat pengasih atau guna-guna tersebut. Dengan bantuan kitab ini, beliau membaca jampi untuk mengahsilkan ubat pengasih untuk dicalitkan pada Tun Teja.
Ilmu Pengasih
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), pengasih membawa makna ilmu pengasih, jampi, azimat, doa, guna-guna dan lain-lain untuk mendatangkan atau membangkitkan rasa kasih sayang. Ilmu inidigunakan untuk mendapat pemujaan oleh seseorang yang jatuh hati kepada orang lain dan lazimnya digunakan oleh seseorang kerana mungkin orang yang disukai itu tidak menyukainya atau telah mempermainkannya. Menurut Seri lanang Jaya et. al (2016 : 159) ilmu pengasih boleh digunakan dengan banyak cara, namun cara yang popular adalah dengan cara mencalitkan sesuatu minyak kepada seseorang yang berkenan atau dengan cara menjampi gambar dan sebagainya.
Ilmu pengasih merupakan salah satu ilmu kebatinan yang digunakan sebagai satu usaha untuk menakluki dan memiliki sekeping hati yang dimiliki individu yang dihajati atau dicintai secara halu atau ghaib. Namun begitu, ilmu ini hanya akan berkesan kepada orang ditujukan sahaja dan tidak akan memebri kesan kepada orang yang berada dekat dengan orang yang terkena ilmu ini. Ilmu ini dibuat dalam pelbagai jenis, kaedah serta nama, iaitu minyak dagu, pengasih purnama, pengasih arjuna, pengasih jiwa dan banyak lagi. Ilmu pengasih ini dilakukan dengan menggunakan minyak pengasih yang diperbuat daripada bahan tertentu seperti makanan dan minuman, minyak wangi, tenungan mata, hikmah suara, hikmah seri wajah dan sebagainya.
Ilmu ini juga turut diamalkan oleh nenek moyang kita termasuklah yang diceritakan di dalam Hikaya Hang Tuah, di mana Hang Tuah telah menggunakan ilmu pengasih ini untuk mendapatkan Tun Teja.
“Setelah Tun Tuah beroleh jebat itu, maka Tun Tuah pun kembalilah ke rumahnya berbuat suatu guna pengasih namanya. Setelah sudah diperbuat guna itu, maka pada malam itu juga Tun Tuah berjaga membaca pustakanya datang siang.
Setelah hari siang maka Tun Tuah pun memakai kain dan baju dan bau-bauan. Setelah sudah maka Tun Tuah pun berjalanlah pergi ke rumah inangda. “Silakanlah anakku.” Maka kata Tun Tuah seraya tersenyum, katanya, “ Insya-Allah Taala, sekali ini pergilah mak kepada Tun Teja itu supaya kita lihat kekayaan Allah Taal dan berkat tapak guru sahaya Sang Persata Nala di Gunung Wirana Pura itu. Mengapa pula maka begitu? Sedang bidadari dari keinderaan lagi kutururnkan, ini Tun Teja anak Bendahara Seri Buana Inderapura!” Setelah inangda menengar kata Tun Tuah demikian itu, maka kata inangda, “Ada pula hendak disuruhkan bonda pergi, kerana Tun Teja lagi gusar akan bonda?” Maka Tun Tuah pun mengeluarkan suatu cembul berisi bau-bauan lalu diunjukkan kepada inangda cembul itu. Maka kata inangda, “Cembul apa ini, Tuan?” Maka kata Tun Tuah. “Pergilah bonda bawa guna ini kenakan pada barang tempat Tun Teja duduk itu; apabila bonda bubuh guna ini maka bonda pulang.”
Setelah inangda menengar kata Tun Tuah demikian itu, maka inangda pun menyambut cembul itu lalu dikendongnya; maka inangda pun pergilah… Maka inangda pun hendak masuk pintu itu, dua tiga kali hendak melangkah pintu itu, tiada juga terlangkah. Maka inangda pun fikir di dalam hatinya, ‘Baik hasil guna ini; jika tiada hasil aku juga merasai dia.’ Maka baginda pun terkulang-kulang di luar pagar; hendak masuk, takut. Seketika lagi Tun Teja pun masuk beradu di dalam tira kelambu yang keemasan. Setelah dilihat inangda Tun Teja sudah masuk beradu itu, maka inangda pun masuk ke dalam pintu, perlahan-lahan datang ke muka punti tangga, lalu naik ke atas.maka kata segala dayang-dayang itu, “Tuan puteri sudah beradu.” Maka kata inangda, “Beta hendak menunjukkan muka kepada anakku sekalian, takut dikata oleh tuan puteri merajuk.” Maka kata segala dayang-dayang itu, “Benarlah seperti kata Datuk Inang itu.” Maka inangda pun mengeluarkan guna itu, dipalitkanya pada tempat Tun Teja itu duduk itu. Setelah sudah maka inangda pun segera turun bersembunyi di balik pagar.
Demi berpalit gunanya itu maka Tun Teja pun terkejut seperti disentap orang kakinya. Maka Tun Teja pun bangun, seraya berkata, “Rindunya aku akan Mak Inang. Selama kugusar dia ini tiada kulihat mukanya; apa halnya gerangan? Pergi Dang Saja lihat; panggil ia ke mari.” Maka sembah segala dayang-dayang itu. “Ya tuanku, sekarang ini juga inangda turun dari sini. Katanya, hendak menunjukkan muka, takut akan tuan puteri kata merajuk.” Maka kata Tun Teja, “Aku gusar sedikit ia tiada datang mendapatkan kita. Pergi panggil mari.
…”Janganlah inangda takut. Mana Tun Tuah itu sekarang? Dan apa katanya tatkala inangda disuruhkannya itu?” Maka sembah inangda,”AMpun patik, tuanku. Adapun Tun Tuah itu dagang. Tatkala sudah menyuruh patik tiad ahasil, maka katanya ia hendak kembali ke Melaka:’Beta malu’. Akan sekarang tiga harilah patik itu tiada datang ke rumah patik, entah sudah kembali, siapa tahu?” Setelah menengar kata Tun Tuah sudah pulang itu, maka Tun Teja pun terlalu dukacita hatinya, lalu menangis. Maka kata Tun Teja, “Inangda carikan juga Tun Tuah itu akan kita beri boleh-boleh. Apabila bertemu, bawa ke rumah inangda.”
(Hikayat Hang Tuah : 217-219)
Hang Tuah telah difitnah oleh Patih Kerma Wijaya bersama pembesar-pembesar yang iri hati dengannya kerana Raja Melaka begitu mempercayai Hang Tuah. Hang Tuah difitnah berkelakuan sumbang dengan dayang-dayang. Oleh yang demikian, Bendahara Paduka Raja diperintah untuk membunuh Hang Tuah, tetapi Bendahara melepaskan Hang Tuah kerana Hang Tuah telah banyak berjasa. Kemudian, Hang Tuah telah membawa diri ke Inderapura dengan tujuan mendapatkan Tun Teja untuk Raja Melaka demi menebus kesalahan dirinya.
Hang Tuah telah menggunakan tipu muslihat untuk meyakinkan Tun Teja mengikutnya pulang ke Melaka. Hang Tuah amat marah akan perkhabaran yang dibawa oleh inangnya itu. Pada awalnya, Tun Teja amat marah dengan perkhabaran yang disampaikan oleh inangnya itu. Oleh sebab itu, Hang Tuah telah mengambil jalan untuk menggunakan ilmu pengasih terhadap Tun Teja dengan menggunakan ‘jebat’ yang diperoleh daripada seorang perempuan tua. Hang Tuah membuka ‘pustaka’nya, iaitu kitab atau buku lama yang mempunyai ilmu tentang cara-cara membuat ilm pengasihdan teru keluar mencari ‘jebat’, iaitu minyak wangi yang dijual oleh seorang perempuan tua untuk menghasilkan ubat guna-guna tersebut.
Hang Tuah bersepakat dengan inang Tun Teja untuk mencalitkan guna-guna tersebut pada Tun Teja yang sedang tidur. Sebaik sahaja ‘jebat’ dicaltkna pada tempat bermain Tun Teja, beliau terus bangun dari tidur dan mencari inangnya. Tun Teja segera bertanya tentang Hang Tuah dan menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan Hang Tuah. Ketika itulah Hang Tuah telah memasa jerat dengan menyatakan bahawa beliau akan pulan ke Melaka. Tun Teja berasa sedih untuk berpisah dengan Hang Tuah telah membuat keputusan untuk mengikut Hang Tuah kembali ke Melaka bersama dayang-dayangnya.
Keterangan beserta contoh di atas menunjukkan bahawa Hang Tuah telah mengamalkan ilmu pengasih bagi memikat Tun Teja untuk dibawa ke Melaka dan dikahwinkan dengan Raja Melaka. Ilmu pengasih ternyata berkesan apabila Tun Teja segera memanggil inangnya dan bersegera bertanya tentang Hang Tuah serta menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan Hang Tuah.